Badminton Terkini

Hendrawan gembira Zii Jia temui semula keyakinan

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

 

Kejayaan Lee Zii Jia muncul juara All England di Birmingham, semalam sememangnya sesuatu yang mengembira dan melegakan jurulatihnya, Hendrawan selepas sama-sama melalui detik sukar.

Apa yang lebih penting bagi Hendrawan adalah Zii Jia menemui semula keyakinannya, sekaligus menepis kecaman pelbagai pihak ke atas mereka selepas beberapa keputusan kurang memberangsangkan sebelum ini.

Zii Jia muncul juara selepas menewaskan pemain nombor dua dunia, Viktor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22, 21-9, sekali gus menamatkan penantian kejuaraan yang kali terakhir dimenangi Datuk Lee Chong Wei pada 2017.

“Lihat sahaja perbezaan aksi Zii Jia di Bangkok dan di Birmingham. Jelas ia cukup jauh berbeza.

“Selepas pulang dari Bangkok dan menjalani kuarantin, kami hanya sempat mempersiapkan Zii Jia dalam tempoh kira-kira dua minggu sahaja.

“Jujurnya, dalam tempoh itu, apa yang boleh dilakukan? Tak mungkin dia mampu berubah menjadi juara dalam tempoh singkat.

”Jadi maknanya musuh Zii Jia sewaktu di Bangkok adalah dirinya sendiri iaitu keyakinan diri,” katanya kepada CAKAPSUKAN.

Hendrawan tidak dapat mengiringi Zii Jia ke Switzerland dan Birmingham atas sebab teknikal berikutan tidak mendapat kebenaran daripada Jabatan Imigresen Malaysia.

Kegagalan Zii Jia pulang dengan keputusan yang diharapkan di dua kejohanan Terbuka Thailand dan pusingan akhir Jelajah Dunia di Bangkok, Januari lalu serta Terbuka Switzerland, awal bulan ini, menyaksikan dia dan Hendrawan menjadi sasaran kecaman.

Menurut Hendrawan pada detik itu, dia lebih banyak memberi penekanan untuk mengembalikan keyakinan Zii Jia.

”Lebih banyak masa diberi untuk memotivasikan dirinya dan saya gembira melihat perubahan yang ditunjukkan di Birmingham di mana keinginannya untuk menang begitu ketara.

”Kita harap Zii Jia dapat kekal konsisten dalam aksinya kerana ini lebih penting ketika ini,” katanya.

Hendrawan juga berkata adalah tugasnya untuk memastikan Zii Jia tidak lupa diri dengan kejayaan itu dan kekal fokus mempersiapkan diri untuk Sukan Olimpik Tokyo.

”Ada hikmah juga Covid 19 ini kerana apabila skuad negara pulang mereka akan menjalani kuarantin tanpa ada sambutan di lapangan terbang seperti kebiasaannya apabila pemain pulang dengan gelaran.

”Jadi, pemain boleh kekal fokus untuk terus kembali berlatih selepas tamat tempoh kuarantin,” katanya sambil menambah persiapan seterusnya adalah untuk Terbuka Malaysia (25-30 Mei) dan Terbuka Singapura (1-6 Jun)


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: