Bola Sepak Semasa Terkini

Ujian pertama Neitzel


Pemain Selangor FC perlu menang aksi sulung Liga Super 2021, malam esok. FOTO : Selangor FC

 

PERLAWANAN pertama Liga Super 2021 akan menyaksikan pasukan Selangor FC menjadi tuan rumah menentang Sri Pahang FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)  malam ini.

Untuk rekod, kali terakhir Selangor FC bertemu Sri Pahang FC juga semasa perlawanan pembukaan Liga Super 2020 yang menyaksikan The Red Giants mencatat kemenangan pertama musim itu dengan keputusan 2-1, yang dijaringkan oleh Ifedayo Olusegun dan Brendan Gan di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Perlawanan ini juga akan menjadi aksi kompetitif rasmi pertama Karsten Neitzel sebagai pengendali pasukan utama Selangor FC untuk musim 2021 selepas diumumkan Disember lalu.

Setelah menjalani aksi pra-musim dan beberapa perlawanan persahabatan sebelum sepak mula malam esok, Karsten menyatakan bahawa matlamat utama skuadnya musim ini adalah untuk memberikan yang terbaik untuk menggembirakan para peminat dengan aksi yang diberikan.

“Saya gembira bola sepak telah kembali. Barisan jurulatih The Red Giants FC telah merancang secara terperinci untuk perlawanan pertama menentang Sri Pahang FC dan kami mahu memberikan yang terbaik dan membuatkan peminat kami gembira,” katanya dipetik dalam portal Selangor FC.

Ditanya mengenai kesebelasan terbaiknya ketika menghadapi skuad Tok Gajah, ini jawapan beliau.

“Pada pendapat saya, pasukan ini mempunyai lebih daripada 11 pemain yang layak disenaraikan dalam kesebelasan utama dan bermain untuk perlawanan akan datang yang telah dijadualkan oleh Malaysian Football League (MFL),” katanya.

Bagaimanapun, SFC terpaksa melupakan khidmat pemain sayap lincah, Nik Sharif Haseefy kerana kecederaan tulang belakang pada pergelangan kaki kiri dan K. Sarkunan akibat kekejangan lutut kiri.

Namun, penyokong Merah Kuning berpeluang menyaksikan penampilan sulung Hakim Hassan, Shahrel Fikri, R. Dinesh, Tim Heubach, Oliver Buff, Manuel Konrad, Danial Asri, Sharul Nazeem dan Sikh Izhan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: