Bola Sepak Terkini

TM kekalkan tradisi aura Liga Malaysia


Oleh : Mohd Fariq

TELEKOM MALAYSIA BERHAD sah akan meneruskan penajaan kepada Liga Malaysia (Liga M) untuk musim 2021, yang akan bermula hari ini.

Pengesahan ini menamatkan segala persoalan yang timbul dikalangan peminat bola sepak tempatan berhubung status Liga M dibawah kendalian Malaysian Football League (MFL).

TM menerusi anak syarikatnya, TM Multimedia (UNIFI), bersetuju meneruskan penajaan selepas mempertimbangkan semua aspek terutamanya mengambil kira bola sepak sebagai sukan nombor 1 di negara ini.

Di fahamkan, TM ingin memastikan perjalanan musim baru Liga M dapat dilaksanakan dengan lancar.

“TM telah melakukan apa yang pihak lain mungkin tidak dapat buat semasa pandemik ini.

“Ini satu komitmen tinggi daripada pihak TM dan berharap segala perancangan Liga M tahun ini akan berjalan sebaiknya,” kata sumber kepada CAKAPSUKAN.

Lima bulan lepas, sejak Piala Malaysia dihentikan, desas-desus mengatakan bahawa TM tidak akan terburu-buru untuk menaja Liga M ekoran keadaan semasa pandemik Covid-19.

Selepas berbulan perbincangan dilakukan antara TM dan MFL, akhirnya dua minggu lepas kata putus berjaya dicapai oleh kedua-dua belah pihak.

Berbanding tahun-tahun sebelumnya, tahun ini TM terpaksa menurunkan jumlah tajaan dan mengikut sumber, ia terpaksa dilakukan ekoran keadaan semasa.

“TM masih menjadi teman setia kepada MFL walaupun ada syarikat lain yang tidak lagi menaja MFL.

“Walaupun TM terpaksa menurunkan jumlah tajaan atas sebab-sebab yang sangat jelas, TM tetap ingin membantu bola sepak Malaysia.

“Diharapkan MFL juga dapat memahami arah tuju TM,” kata sumber.

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican (tengah) turut hadir pada Majlis Pelancaran Liga Malaysia 2021, baru-baru ini.

 

Untuk pengetahuan umum, syarikat telekomunikasi itu sudah menaja Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sejak tahun 2000, sebelum muncul sebagai penaja utama FAM pada tahun 2005 sehingga 2010.

Hanya 2011 hingga 2014 TM tidak bersama FAM selepas kemasukan Astro sebagai penaja utama.

Bagaimana pun pada tahun 2015, TM kembali menaja Liga M dan juga pasukan kebangsaan.

TM sebelum ini menandatangi kontrak perjanjian selama lapan tahun bermula 2018 hingga 2025 dengan nilai tajaan dikatakan sebanyak RM480 juta.

Akan tetapi pada tahun 2019, TM ditamatkan kontrak selepas dikatakan gagal menyelesaikan bayaran penajaan.

Pada tahun 2020, TM kembali sebagai penaja utama Piala Malaysia dan penaja bersama Liga Super, Liga Perdana dan Piala FA.

Akibat pandemik Covid 19, Piala FA terpaksa dibatalkan dan Piala Malaysia hanya dilaksanakan separuh jalan sebelum dibatalkan sepenuhnya.

Pada perasmian Liga M 2021 sebelum ini, MFL mengumumkan sudah memperolehi tajaan bernilai lebih RM33 juta, tanpa mengesahkan identiti penaja.

Presiden MFL Dato Hamidin Amin, yang juga President FAM, mengumumkan perkara tersebut, di hadapan Menteri Belia dan Sukan Dato Seri Reezal Merican Naina Merican, yang merasmikan acara tersebut.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading