Bola Sepak Semasa Terkini

Kuching City FC miliki potensi


Oleh : Subkhi Sudarji

PENDATANG baharu Liga Premier pada musim lalu , Kuching City FC yang sebelum ini dikenali Kuching FA dengan keputusan menduduki tempat keempat nyata mengejutkan ramai pemerhati dan peminat.

Bagi musim ini, Kuching City FC terus mengorak langkah memantapkan lagi pasukan apabila mendapatkan sentuhan jurulatih yang cukup kaya dengan pengalaman, Irfan Bakti Abu Salim serta membawa beberapa muka baharu.

TENAGA BAHARU

Antara pemain tersebut ialah bekas pertahanan Kelantan United FC, Alyton Alemao, pemain pertahanan Nazrul Abdul Samad, selain dua bekas pemain UKM FC, Mohd Rafiq Shah Mohd Zaim dan Muhammad Badrul Amin Hamid yang bermain di bahagian sayap.

Kalang Tie (tengah) antara pemain senior dalam pasukan.

Kehadiran pemain berpengalaman, Joseph Kalang Tie yang pernah bekerjasama dengan Irfan pada 2009 dan 2011 di Terengganu, dijangka akan terus memacu Kuching City FC selain Hairol Mokhtar dan penjaga gol, Iqbal Suhimi.

Turut dibawa masuk ialah Wan Jamak Wan Hassan akan memulakan tugas sebagai Pengarah Teknikal.

IMPIKAN SLOT LIGA SUPER

Irfan tetap mengimpikan slot ke Liga Super walaupun sedar ada beberapa pasukan lain mempunyai kualiti pemain lebih baik namun berdasarkan komitmen yang ditunjukkan pemain, beliau berasakan Kuching City ada kemampuan buat kejutan kepada pencabar-pencabar lain.

“Pemain tempatan dalam pasukan ini masih merupakan yang sama membawa Kuching naik dari Liga M3 sebelum ini dan saya cukup kagum dengan semangat yang mereka pamerkan tiap kali dalam sesi latihan.

“Begitu juga pemain senior dalam pasukan seperti Joseph dan Hairol sentiasa menunjukkan komitmen serta contoh yang baik kepada pemain-pemain, jadi saya yakin pasukan ini mampu pergi jauh berdasarkan semangat berpasukan yang tinggi ditunjukkan oleh semua,” katanya.

Kuching City FC akan membuka tirai Liga Premier 2021 pada pusingan LP2 dengan menentang Terengganu FC II di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 9 Mac nanti.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: