Bola Sepak Semasa Terkini

Suntikan vaksinasi atlet negara bulan depan


Reezal Merican (tengah) bersama Datuk Hamidin Mohd Amin (kanan) ketika menjawab pertanyaan pihak media.

OLEH MOHD FITRIE MUHAMAD

PROGRAM vaksinasi kepada atlet negara dijangka akan dapat dilakukan bulan depan ekoran kekangan jumlah vaksin yang dimiliki negara ketika ini.

Ia berikutan jumlah vaksin yang diterima ketika ini agak terhad namun atlet dan pegawai sukan tetap berada dalam senarai untuk program vaksinasi yang dijangka akan dibuat April ini.

Menteri Belia dan Sukan (KBS), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pihaknya sudah menghantar senarai atlet namun ketika ini barisan hadapan lebih memerlukan vaksin dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

“KBS sudah hantar sejumlah 4,000 senarai nama atlet dan pegawai yang memohon untuk divaksinasikan. Cuma pada waktu sekarang bekalan yang diperolehi agak kecil dan keutamaan ialah barisan hadapan.

“Keutamaan akan diberikan kepada 264 atlet bersama pegawai yang bakal sertai Sukan Olimpik, Paralimpik dan Kejohanan Dunia.

“Saya sendiri pun tidak akan ambil vaksin di peringkat awal dan akan melakukannya bersama atlet pada April,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Pelancaran Liga Malaysia (Liga M) 2021.

Dalam perkembangan Liga M, Reezal meluahkan rasa penghargaannya kepada pelbagai pihak kerana terus setia bersama sukan nombor satu itu.

“Harapan saya tentang liga, InsyaAllah permulaan yang lebih dan sesuatu yang menarik kerana ia dinantikan oleh rakyat.

“Yang penting, terima kasih keatas kesetiaan peminat dan para penaja yang bersama dengan Malaysian Football League (MFL) bagi memastikan liga kita dapat bermula dan berjalan dengan baik,” katanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: