Bola Sepak Semasa Terkini

Penantian yang mencabar buat peminat

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

REEZAL MERICAN

 

OLEH : MOHD FITRIE MUHAMAD

HASRAT untuk melihat kehadiran semula penyokong ke stadium bagi menyaksikan aksi Liga Malaysia (Liga M) musim 2021 mula menampakkan perkembangan positif dan dijangka akan dapat direalisasikan Mei ini.

Boleh dikatakan, ketika ini Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang menilai daripada segenap sudut kepentingan kehadiran penyokong ke stadium sebelum membentangkan cadangan itu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pihaknya sentiasa melihat kepentingan kehadiran penyokong namun segalanya ada kemungkinan lain, bergantung kepada keadaan semasa dan keputusan terkini daripada MKN.

“Kita mahu cuba bawa semula penyokong ke stadium dengan jumlah yang sesuai dan tidak memberikan ancaman kepada SOP (Prosedur Operasi Standard) dan kita akan terangkan kepada MKN.

“Saya beri jaminan dalam tempoh itu saya akan bawa ke MKN untuk dapatkan kelulusan bagi membolehkan sukan bola sepak dengan kehadiran penonton mengikut SOP. Selepas dua bulan liga berlangsung, baru kita akan kemukakan (cadangan kepada MKN).

“Ini juga bergantung sepenuhnya kepada pengumuman MKN sama ada nak teruskan PKP atau ada pengumuman baru. Jadi ini semua akan jadi penentu bila kita mahu bawa (cadangan kepada MKN),” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Pelancaran Liga Malaysia 2021.

Dalam perkembangan lain, Reezal juga berharap gelembung sukan yang digunapakai ketika ini dapat dijadikan contoh dalam usaha memutuskan rantaian tanpa menjejaskan aspek ekonomi.

“Kepentingan gelembung sukan, dia akan jadi tanda aras dan kalau terjadinya PKP semula, kita tidak mahu bola sepak dihentikan kerana ianya sudah melalui proses yang ketat bagi menjamin keselamatan.

“Kita juga tidak mahu sukan dipandang sebagai pencetus kepada pandemik tetapi dengan SOP ketat, kita mahu jadikannya sebagai zon bebas Covid. Gelembung sukan benar-benar beri keyakinan kepada MKN dan harap ia dihargai dan dijaga dengan baik,” katanya.

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: