Semasa Sepak Takraw Terkini

Kelantan Warriors masih ada peluang


SUHAIRI NORDIN

OLEH FARIZAL YUSOFF

BIARPUN tumpas 2-0 dalam aksi pembukaan kumpulan B Liga Juara-Juara STL kepada Penang Black Panthers namun Kelantan Warriors yakin peluang ke separuh akhir masih terbuka dengan syarat menumbangkan ATM Guardians, malam esok.

Biarpun di atas kertas tampak sukar, namun berdasarkan prestasi semasa pemain ketika latihan sepanjang tempoh liga ‘berehat’, memberi petanda ‘kejutan’ mampu dilakukan.

Ketua jurulatih Warriors, Suhairi Nordin, berkata pemainnya sedar tentang kekuatan skuad bimbingan jurulatih, Aswadi Abdullah namun percaya semangat juang tinggi pemain mampu membolehkan Kelantan mencipta kemenangan sulung dalam aksi di Studio Iskandar Malaysia, Johor Bahru.

“Alhamdulillah, pemain cukup bersemangat untuk menumbangkan naib juara STL musim lepas.

“Kami perlu menganggap aksi menentang ATM sebagai hidup-mati dan wajib memungut mata penuh kerana Negeri Sembilan Antles menunggu, Khamis ini,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.

Kelantan Warriors pertaruh tekong berpengalaman, Yus Hanif Rosli.

Suhairi juga mahukan pelibas muda, Eqbal Samsudin mengulangi semula aksi hebatnya dalam liga sehingga ditabalkan apit kanan terbaik mingguan STL.

“Eqbal perlu menggunakan segala pengalaman yang ada untuk mengatasi cabaran yang bakal diberikan apit kanan kebangsaan, Afifuddin Razali.

“Selain itu, tekong berpengalaman, Yus Hanif Rosli diharap mampu menyerap tekanan yang ada dan menggunakan segala variasi servis untuk memerangkap skuad naib juara liga, musim lepas.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan terdesak memburu kemenangan sulung dalam kumpulan B Liga Juara-Juara STL selepas tewas kepada lawan masing-masing dalam aksi pembukaan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: