Oleh : Mohd Fariq
PEMILIK Cardiff City, Tan Sri Vincent Tan menjadi individu paling gembira dengan prestasi semasa kelab itu dibawah pengurus baru, Michael McCarthy.
Sejak mula mengambil alih pasukan pada 22 Januari lalu, McCarthy mula pamer magis menterbalikkan prestasi kelab kepada lebih baik berbanding apa yang sudah dipamerkan dibawah bekas pengurus, Neil Harris.
Dengan saingan berbaki 13 perlawanan lagi musim ini, jika rekod dan pencapaian seperti ini mampu dikekalkan, tidak mustahil untuk The Bluebirds ‘naik pangkat’ ke Liga Perdana Inggeris musim depan.
“Sudah pasti saya gembira dengan hasil yang dijelmakan oleh McCarthy dan saya cukup berharap ianya dapat diteruskan lagi pada perlawanan akan datang.
“Naluri hati kecil saya tetap mahu lihat kelab capai prestasi cemerlang untuk cuba ke saingan utama. Sekurang-kurangnya saya berharap kelab ini mampu berada dalam kelompok pasukan yang akan bermain playoff bagi merebut tempat ke Liga Perdana Inggeris,” katanya.

Sepanjang lapan perlawanan dibawah kendalian McCarthy, Cardiff City mencatatkan lima kemenangan dan tiga keputusan seri termasuk terikat 1-1 dengan Middlesbrough, semalam.
Rekod yang diraih McCarthy nyata hebat dan menunjukkan keserasian antaranya bersama pasukan yang kini menghuni tangga kelapan Liga Kejuaraan, mengumpul 50 mata.
Hanya 17 mata Cardiff City dipisahkan dengan Norwich City di puncak liga dan 13 mata berbanding penghuni tangga kedua, Brentford FC.
Harus diingat, jurang itu boleh dipintas memandangkan Cardiff kini masih memiliki 39 mata yang boleh direbut daripada baki saingan musim ini.
Jika gagal menempah slot automatik sekali pun, Cardiff City masih berpeluang untuk memburu satu lagi slot yang akan ditentukan menerusi playoff.
Syaratnya, McCarthy perlu memimpin pasukan dalam kelompok tiga hingga enam terbaik.
Add Comment