Bola Sepak Komentar Semasa Terkini

Kongres FAM ke 57, perubahan Exco atau tetap sama

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Oleh Penulis bebas (Seorang Pengulas Sukan)

*MENGUMUMKAN, CALON-CALONNYA…

SIAPAKAH kelompok insan istimewa yang bakal menemani Datuk Hamidin Mohd Amin dalam menentukan hala tuju bola sepak negara untuk empat tahun akan datang?

Senarai pencalonan untuk merebut jawatan dalam jawatankuasa eksekutif FAM yang akan ditentukan dalam Kongres FAM ke-57 pada 13 Mac nanti sudah keluar.

Ada yang berkenan di hati, ada yang tidak tetapi yang akan mengundi nanti bukan peminat.

Tanggungjawab ini jatuh kepada 40 orang perwakilan dari 20 ahli gabungan FAM. Mereka akan memilih 17 individu untuk membentuk jawatankuasa eksekutif FAM, terdiri daripada seorang presiden, dua timbalan presiden, empat naib presiden dan 10 orang EXCO, termasuk dua EXCO dalam kalangan wanita.

Yang pasti, Datuk Hamidin sudah menang tanpa bertanding. Semua ahli gabungan mencalonkan beliau sebagai presiden. Bayangkan tidak ada nama lain yang dicalonkan sebagai presiden, menggambarkan bahawa kedudukan Datuk Hamidin tidak tergugat untuk membolehkan beliau memasuki penggal kedua selaku presiden selepas menggantikan Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 14 Julai 2018.

Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi

Hanya dua nama dicalonkan sebagai timbalan presiden – Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram yang menjawat jawatan naib presiden sebelum ini. Datuk Sivasundaram orang lama dalam FAM dan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), jadi beliau memahami hakikat bahawa Datuk Hamidin seorang yang memiliki etika kerja yang tinggi dan menagih idea-idea baharu.

Memandangkan Datuk Seri Subahan Kamal memberi tumpuan kepada hoki, maka Datuk Sivasundaram diangkat menjadi timbalan presiden FAM. Beliau dijangka banyak bekerja di balik tabir, sebagaimana di FAS satu ketika dahulu apabila gandingan setiausaha agung-bendahari Hamidin-Sivasundaram mengumpul koleksi piala demi piala di Selangor.

Lima individu akan merebut empat kerusi naib presiden, manakala 17 orang berminat mengisi lapan slot jawatankuasa eksekutif.

Andai Mohd Joehari Mohd Ayub dan Datuk Seri Rosmadi Ismail mempertahankan jawatan, ahli exco 2017-2021, Mohd Firdaus Mohamed dan Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak, Datuk Posa Majais mengintai ruang bersama orang lama, bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah, untuk cuba membentuk empat serangkai Naib Presiden FAM 2021-2025.

Datuk S. Sivasundaram

 

Dalam senarai 17 calon untuk kerusi EXCO, ada enam calon yang mempertahankan jawatan iaitu Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, Datuk Jefferey Low, Christopher Raj, Dali Wahid, Datuk Aminuddin Omar dan Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar. Sebelas lagi calon dengan pelbagai latar belakang dijangka memberi saingan sengit.

Satu-satunya calon berlatarbelakangkan dunia korporat, Datuk Seri Shahril Mokhtar, yang juga Timbalan Presiden FAS, wajar diberi peluang menyuntik idea-idea baharu. Tampil dengan rekod pernah menjadi Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad dan CEO MRT Corp, Shahril harus menempatkan diri dalam Exco.

Yang penting, mereka yang bercita-cita masuk FAM mesti berpegang kepada satu perkara – mereka harus memberi nilai tambah kepada badan induk paling menjadi tumpuan.

Jangan sekadar panaskan kerusi tetapi berusaha menyumbang idea, tenaga dan masa serta wang ringgit.

Barisan anak kapal di bawah nakhoda kaya pengalaman seperti Datuk Hamidin tidak mempunyai masa banyak untuk menampal kebocoran sekeliling bahtera.

Anak kapal kena ikhlas, jujur dan telus. Jika ciri-ciri ini tidak ada dalam kalangan calon, elok pertimbangkan keputusan menarik diri.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: