Antarabangsa Badminton Terkini

BAM: Tiada lagi ‘ bulan madu’ buat pemain


Aaron Chia/ Soh Wooi Yik

 

TIADA lagi tempoh ‘bulan madu’, sebaliknya pemain yang dihantar beraksi di kejohanan luar negara perlu memastikan pulang dengan keputusan terbaik.

Penampilan berasaskan keputusan kini menjadi pilihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) khususnya untuk pemain-pemain senior agar mereka sentiasa menghargai kesempatan yang diberikan.

Apa lagi ketika ini kos penghantaran bagi setiap pemain meningkat begitu ketara berikutan pandemik Covid 19.

Kenny Goh

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata pemain perlu sedar situasi semasa tidak lagi memungkinkan mereka menganggap mudah setiap penampilan di kejohanan luar negara.

“Kos menghantar setiap pemain ke luar negara kini naik antara 20 hingga 30 peratus dan ini tentunya memberi kesan kepada kewangan persatuan.

“Harga tiket penerbangan sahaja naik begitu ketara dan ini belum lagi membabitkan ujian swab beberapa hari sebelum berlepas dan kuarantin di hotel apabila pulang ke tanah air, katanya kepada CAKAPSUKAN.

Berikutan situasi semasa, Kenny menegaskan pemain wajar membalas kepercayaan BAM menghantar mereka dengan mencatat keputusan yang membanggakan.

Menurutnya, dengan kalendar kejohanan antarabangsa yang boleh berubah pada saat-saat akhir berikutan situasi Covid 19, setiap aksi di gelanggang adalah penting sama ada untuk kelayakan Olimpik mahupun ranking dunia.

“Tidak kiralah sama ada kejohanan besar atau kecil, BAM mahu melihat pemain benar-benar serius dalam memberikan aksi terbaik.

“Selain itu mereka juga perlu ingat, belum ada kepastian sama ada kejohanan berikut yang ditetapkan untuk mereka akan dilangsungkan atau dibatalkan,” katanya.

Lee Zii Jia 

Sejak pertengahan Mac tahun lalu, hampir semua kejohanan dibatalkan atau ditunda termasuk acara berpasukan Piala Thomas/Uber, kecuali Terbuka Denmark.

Musim baru 2021 pula bermula dengan dua kejohanan Terbuka Thailand diikuti pusingan akhir Jelajah Dunia di Bangkok, bulan lalu.

Dua kejohanan awal yang menawarkan mata Olimpik dijadualkan bulan depan bermula dengan Terbuka Switzerland (2-7 Mac) dan Terbuka Jerman (9-14 Mac) diikuti All England (17-21 Mac) yang berstatus Super 1000.

Namun penganjur Terbuka Jerman menunda kejohanan itu berikutan penularan kes Covid 19 yang menunjukkan peningkatan, sekali gus menyaksikan pemain hilang peluang menambah mata kelayakan Olimpik.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: