Bola Sepak

The Derby hangatkan perseteruan Selangor-KL


 

Aksi The Derby akan berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam esok.

OLEH MOHD FITRIE MUHAMAD

PERSETERUAN dua pasukan gergasi Lembah Klang antara Kuala Lumpur dan Selangor bukannya cerita baru dalam arena bola sepak negara.

Malah perhitungan kedua-dua pasukan sudah pun bermula sejak 1979 lagi, membabitkan 79 pertemuan kesemuanya.

Memasuki era 80an dan 90an, aksi derbi ini sentiasa jadi perhatian kerana kedua-duanya membariskan ramai nama besar seperti Karel Stromsik, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Azman Adnan, Mokhtar Dahari, Lim Teong Kim, K.Gunalan dan pemain Singapura, Fandi Ahmad.

Kali terakhir pertemuan kedua-dua pasukan adalah pada 2019 yang menyaksikan Selangor menang 2-1 dan kini perseteruan itu kembali selepas Kuala Lumpur United FC ‘naik pangkat’ ke Liga Super musim ini.

Mungkin sejak beberapa tahun lalu aura perlawanan ini sedikit menurun tetapi lain pula cerita pada edisi 2021 apabila kedua-dua pasukan kini dibarisi ramai pemain berprofil tinggi.

Bagi mengidupkan semula perseteruan ini, esok (27 Februari) satu perlawanan pra musim yang dinamakan sebagai The Derby dianjurkan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, merebut Piala Prihatin Menteri Wilayah Persekutuan.

Walaupun hanya pra musim, derbi kali ini pasti menjanjikan kelainan kerana Kuala Lumpur United FC dan Selangor FC sekarang dibarisi ramai pemain hebat malah berstatus pemain kebangsaan.

Shahrel jadi pilihan Selangor FC robek kubu  Kuala Lumpur.

Selangor FC pasti akan diperkuatkan dengan pemain Shahrel Fikri, Syahmi Safari, Brendan Gan dan Ifedayo Olusegun.

Kuala Lumpur United FC juga tidak kurang hebat apabila akan dibarisi pemain berprofil tinggi seperti Indra Putra Mahyuddin, Shukor Adan, Safee Sali dan juga bintang import, Paulo Josue.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata perlawanan ini diadakan khas bagi memeriahkan kembali Liga M, terutamanya bagi pemerhati sukan bola sepak di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur .

“Saya dihubungi oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu KLUFC, Stanley Bernard untuk mengadakan perlawanan tahunan pramusim bersama dan pihak Selangor FC melihat cadangan tersebut sangat menarik untuk pasukan serta penyokong bolasepak Malaysia terutamanya Red Giants FC dan KLUFC.

“Kejohanan pramusim tahunan rasmi ini diadakan khusus untuk pasukan Selangor FC dan KLUFC sahaja bagi menyambut sejarah derbi Lembah Klang yang menjadi antara aksi penting Liga Malaysia sejak tahun 1979

“Dengan perubahan baik kedua-dua pasukan, saya berharap ia akan menjadi satu perlawanan yang dinanti-nantikan semua dan akan lebih banyak elemen-elemen baru bakal dimasukkan bagi memeriahkan lagi perlawanan,” katanya ketika dipetik menerusi laman web rasmi selangorfc.com.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: