Bola Sepak

Sabah FC tagih pengalaman Amri Yahyah


KEHADIRAN bekas pemain kebangsaan berpengalaman, Amri Yahyah ke dalam pasukan Sabah FC memperkuatkan lagi bahagian serangan musim ini.

Kelibat Amri tidak asing lagi dalam arena bola sepak selepas mencipta nama selama 12 tahun bersama Selangor bermula 2001 sehingga 2013 sebelum terus melebarkan sayap ke pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Melaka dan musim lalu bersama Sarawak United FC.

Menurut jurulatih Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto, Amri menarik perhatiannya dan mengharapkan pemain berusia 40 tahun ini dapat membuktikan masih mempunyai aura untuk menghasilkan serangan berbisa meskipun hadir sebagai pemain paling veteran dalam pasukan.

“Jujur, ramai yang mengatakan kenapa saya memilih pemain lebih veteran seperti Amri dalam pasukan, dan untuk saya, apa yang penting bukan usia, tetapi kemampuan dia di atas padang selaku pemain berpengalaman.

“Dia juga merupakan pemain yang boleh melakukan kawalan baik di bahagian tengah juga dan bagaimana dia memperlihatkan tahap keyakinan dirinya selaku pemain kepada pemain-pemain tempatan lain yang lebih muda darinya,” katanya.

Selain Amri, Bobby Gonzales dan N. Thanabalan juga berada dalam skuad Tambadau termasuk mengekalkan pertahanan dari Korea Selatan, Park Tae-su.

Sabah FC akan memulakan aksi Liga Super 2021 dengan berkunjung ke Stadium Hang Jebat bagi berdepan pasukan Melaka United FC pada 6 Mac depan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading