Bola Sepak

Cheng Hoe tarik nafas lega


Kancah Liga Malaysia akan bermula pada 5 Mac 2021.

KETUA jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe mampu menarik nafas lega sebaik mengetahui Liga Malaysia akan bermula pada 5 Mac ini.

Dia menyifatkan situasi berkenaan akan membantu kecergasan pemain sebelum menghadirkan diri ke kem latihan pusat yang dijangka bermula pada 22 Mac ini.

“Bagi saya ini satu berita yang melegakan kepada skuad kebangsaan apabila MFL mengeluarkan jadual perlawanan akan bermula 5 Mac ini dan pemain dapat melalui sekurang-kurangnya lima perlawanan yang kompetitif.

“Melalui situasi ini, pemain dijangka mampu berada di tahap kecergasan serta fizikal yang saya harapkan dan mereka bersedia bagi menjalani latihan untuk skuad kebangsaan.

“Jika liga ditangguhkan dan pemain yang terpilih terus sertai kem latihan, saya rasa sukar untuk menyediakan pemain dengan latihan yang bercorak taktikal malah boleh mengundang kecederaan serius dalam kalangan pemain.

“Jika situasi itu terjadi, bukan sahaja skuad kebangsaan sahaja yang rugi tetapi kelab apabila pemain cedera kerana latihan bercorak taktikal ini menuntut intensiti yang tinggi,” katanya.

Berdasarkan kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), tempoh 22 hingga 30 Mac merupakan waktu buat semua pasukan negara untuk mengadakan aksi persahabatan dan situasi itu mahu diambil skuad kebangsaan untuk mengadakan latihan pusat.

Kali terakhir pemain negara dapat berkumpul mengadakan latihan bersama ialah pada November 2019 dan mereka kini masih dalam misi layak ke Piala Asia menjelang pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 pada Jun depan yang akan diadakan secara karnival.

Liga Malaysia akan bermula 5 Mac ini membabitkan pertembungan Johor Darul Ta’zim dan Kedah Darul Aman FC dalam perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim manakala aksi selebihnya pada 6 dan 7 Mac.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: