Komentar Rencana Semasa Terkini

AURA SUKAN MALAYSIA MENGAMIT SEMANGAT PATRIOTIK

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Dr M. Jegathesan, Nurul Huda Abdullah , Mirnawan Nawawi , Lee Chong Wei, Nicol David antara sebahagian figura tokoh sukan negara yang menyatukan kita sebagai satu rakyat Malaysia.

Oleh MOHD FARIQ

SUKAN

Menurut definisi Dewan Bahasa dan Pustaka, ia bermaksud segala jenis latihan gerak badan dan permainan yang memerlukan tenaga dan ketangkasan.

Namun pengertian sukan kepada rakyat Malaysia sebenarnya memiliki skop lebih besar dan luas, bukannya aktiviti zahir yang mengeluarkan keringat semata-mata.

Ini kerana sukanlah yang menjadi platform rakyat Malaysia untuk membina komuniti, mendidik mengenal jati diri dan paling penting kesemua penduduk negara ini akan sentiasa tersemat rasa bangga setiap kali melihat Jalur Gemilang berkibar dalam arena kejohanan-kejohanan antarabangsa.

 

Datuk Santokh Singh

 

Tidak kisahlah apa jua bentuk kejayaan, misal contoh ikon badminton negara, Datuk Lee Chong Wei pingat emas Sukan Komanwel 2006 di Melbourne, secara automatik kita seluruh rakyat Malaysia seolah-olah ‘kita’ sendiri yang bermain sukan itu dan betapa besar impaknya ia meresapi jiwa ‘kita’.

Sebut lagi apa-apa sukan antarabangsa contohnya kejayaan ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David, (jaguh basikal negara) Azizulhasni Awang, (diva terjun) Pandelela Rinong atau mana-mana lagi ikon sukan negara, kita semua akan melihat satu; Malaysia sedang beraksi dan sedang takluki dunia.

Tidak dilupakan juga dengan koleksi-koleksi kejayaan lain antaranya seperti legenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Santokh Singh, Soh Chin Aun, (jaguh olahraga) Tan Sri Dr M. Jegathesan, Datuk M. Rajamani, Nurul Huda Abdullah (renang);dan legenda hoki negara, Mirnawan Nawawi di mana figura tokoh sukan negara inilah yang menyatukan kita sebagai satu rakyat Malaysia.

Inilah yang membuatkan mengapa sentimen sukan di Malaysia yang berada dalam kelas tersendiri di mana kita bukan sahaja berbangga dengan kejayaan atlet itu sendiri sebaliknya bermegah di atas nama Malaysia itu sendiri.

Allahyarham Datuk Mokhtar DahariMokhtar menerima cenderamata pada tahun 1980an daripada semasa itu Raja Muda Selangor Tengku Idris Shah (sekarang DYMM Sultan Selangor).

SUKAN ALAT PENYATUAN RAKYAT JELATA

Elemen perbezaan ideologi, politik, agama atau bangsa bukanlah menjadi satu isu kepada sukan.

Ini kerana melalui sukan setiap perbezaan mahupun perbandingan itu secara langsung ‘hilang’ di mana semangat muafakat lebih gah menyinar.

Seperti penulis kongsikan kejayaan atlet-atlet sebelum ini, kewujudan sukan ini adalah bukti paling jelas menunjukkan betapa kita semua bersatu ketika memberikan sokongan padu kepada pasukan atau atlet kesayangan negara.

Azizulhasni Awang

Malah mungkin tidak keterlaluan untuk penulis mengatakan bahawa sebahagian besar masyarakat menunjukkan semangat patriotik atau semangat cintakan negara melalui saluran sukan.

Inilah keindahan di sebalik nilai tersirat sukan di Malaysia di mana sukan adalah alat penyatuan rakyat dan terus merapatkan hubungan silaturahim.

Justeru, penulis dapat simpulkan bahawa tiada konspirasi kononnya sukan mampu dijadikan ‘agenda setting’ yang boleh manipulasi sebaliknya sukan adalah gelanggang neutral untuk semua perkara.

MSN TERUS JADI SANDARAN NADI LAHIRKAN ATLET BERKELAS DUNIA

Kata orang, kejayaan tidak bergolek begitu sahaja.

Jadi penulis mahu mengambil kesempatan merakamkan penghargaan terhadap Majlis Sukan Negara (MSN) di atas kerja keras mereka untuk terus memperkasakan sukan di Malaysia.

Bersempena ulang tahun MSN yang mula ditubuhkan sejak 21 Februari 1972, penulis percaya MSN akan terus bergiat untuk terus mencungkil bakat-bakat baharu atlet berkelas dunia.

Ini kerana penulis percaya Malaysia akan terus unggul dalam peta sukan dunia jika kesemua memberikan sokongan kepada MSN yang sentiasa proaktif melahirkan atlet berwibawa.

Harus diingat bahawa penganjuran Sukan Komanwel 1998 di mana Menteri Belia dan Sukan ketika itu adalah Perdana Menteri kita sekarang, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan kita juga bukan mampu melahirkan atlet berbakat sebaliknya memiliki kebolehan menganjurkan pentas sukan berkelas dunia.

Akhir kata daripada penulis, sukan sentiasa kekal revelan sepanjang zaman tetapi keberkesanan itu bergantung kepada usaha kita bersama.

(Nota: Mohd Fariq mempunyai pengalaman menulis sukan lebih 25 tahun)


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: