Sepak Takraw Terkini

Tok Mat cabar Abdul Halim


 

Ahmad Ismail

 

TIMBALAN Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) Datuk Seri Ahmad Ismail mengesahkan akan mencabar Datuk Abdul Halim Kader bagi merebut jawatan nombor satu bagi penggal 2021-2025.

Ahmad yang kini memegang jawatan selaku Timbalan Presiden ASTAF bagi sesi 2016-2021 berkata pada awalnya tidak berhasrat untuk bertanding kerana mahu memberi fokus kepada pembangunan sepak takraw negara dan memberi laluan kepada Presiden Persekutuan Sepak Takraw Singapura (PERSES) Mohd Nasri Haron.

“Pendirian mahu melihat perubahan pada pucuk pimpinan ASTAF antara faktor saya memutuskan untuk menawarkan diri bertanding jawatan itu pada pemilihan 1 Mac ini.

“Bagi saya dan kita di PSM, tidak kira siapapun bertanding, yang penting kepimpinan harus diubah kalau hendak lihat sepak takraw maju dan betul-betul hidup di peringkat Asia. Setakat ini, saya menawarkan diri, tetapi sekiranya ramai dah mengenali dan beri sokongan kepada Nasri, saya sedia menarik diri,” katanya pada sidang media dipejabatnya, semalam.

Ahmad yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mat, Ahli Majlis ASTAF dan Setiausaha Agung PSM Datuk Abidullah Salleh bakal bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden dan Ahli Majlis PSM Yusoff Ali pula akan merebut jawatan Ahli Majlis ASTAF manakala Naib Presiden Datuk Mohd Sumali Reduan tidak mempertahankan jawatannya.

Sementara itu, memetik laporan Bernama, Abdul Halim berkata beliau menyambut baik pertandingan bagi mempertahankan jawatan nombor satu itu dan berharap ahli gabungan dari 25 negara akan membuat keputusan tepat.

Abdul Halim yang berasal dari Singapura turut menyandang jawatan Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF), telah menerajui kerusi nombor satu ASTAF lebih sedekad.

Mohd Nasri sebelum ini berjaya mengenepikan Abdul Halim ketika pemilihan jawatan Presiden PERSES pada 2019.

Pemilihan sempena kongres kali ini berlangsung pada 1 Mac akan diadakan secara elektronik bagi memilih Presiden, dua Timbalan Presiden, lapan Naib Presiden dan 10 ahli majlis.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: