Antarabangsa Pelbagai Semasa Terkini

BAWAH 23 ATAU TERBUKA ? MANA SATU PILIHAN PERSATUAN SUKAN ?

Spread the love
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

KONTINJEN negara bawah umur 23 tahun untuk Sukan Sea Vietnam akhir tahun ini?

Belum apa-apa lagi Persatuan  Sepaktakraw Malaysia (PSM) sudah menolak cadangan itu kerana menganggapnya tindakan terburu-buru, biarpun perkara tersebut sudah diperkatakan hampir dua tahun lalu.

Bukan bersetuju atau menolak idea itu, namun wajarkah cadangan Menteri Belia dan Sukan (ketika itu) pada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Disember 2019, dipraktikkan?

Sukan Sea adalah satu-satunya kejohanan bertemasya di rantau ini yang boleh dianggap mampu memberi ‘feel good factor’ kepada peminat sukan tempatan.

Apa tidaknya, hanya di Sukan Sea sahaja yang mereka boleh melihat Malaysia mampu muncul juara keseluruhan  seperti pada 2001 dan 2017 lalu, atau setidak-tidaknya mengutip 30 pingat emas di pentas antarabangsa.

Kalau nak mengharap Sukan Asia dan Sukan Komanwel, angka 10 emas pun cukup jarang diperolehi manakala untuk Sukan Olimpik, ia masih kekal satu impian yang belum tercapai.

Seorang pegawai sukan yang enggan namanya disiarkan menjelaskan idea menghantar atlet berusia bawah 23 tahun sebenarnya mampu membunuh sukan itu sendiri secara jangka panjang.

“Memang Sukan Sea adalah pendedahan awal terbaik untuk atlet muda. Tapi apa jadi jika selepas satu atau dua kali penampilan, mereka masih gagal.

“Jangan hairan jika akan berlaku keadaan ‘bermula awal, bersara awal’ apabila mereka berputus asa dan memilih memberi tumpuan kepada pelajaran atau pekerjaan,” katanya kepada CAKAPSUKAN.

Menurutnya, ukuran paling mudah adalah menerusi Sukan Malaysia (Sukma) membabitkan atlet bawah 23 tahun yang masih belum dapat meletakkan tanda aras yang lebih tinggi untuk sukan tempatan.

Pada masa sama, katanya, bakat atlet yang berumur 23 tahun ke atas pula akan disekat begitu sahaja dan terpaksa bersaing di pentas yang jauh lebih tinggi, tanpa peluang meraih pengalaman awal di peringkat serantau.

Jelasnya, beliau memahami jika ada persatuan sukan kebangsaan mahu membariskan atlet muda berbanding senior andai standard mereka sudah tinggi atau berkelas dunia.

Ini seperti skuasy dan hoki kerana standard skuad negara adalah lebih tinggi daripada lawan serantau.

“Dalam situasi ini memang saya setuju kerana memberi ruang kepada pemain muda menimba pengalaman berikutan sukar mendapat peluang di pentas senior, “ tegas pegawai itu.

Namun jelasnya, situasi adalah berbeza bagi badminton kerana ada pasukan handalan lain seperti Indonesia dan Thailand yang memberi cabaran dalam saingan pingat emas.

Sebaliknya, pegawai itu menjelaskan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) wajar meneruskan pemilihan atlet berdasarkan apa yang dipraktikkan ketika ini.

Baginya, selama ini pun Malaysia menghantar atlet campuran senior dan remaja di mana masing-masing melepasi tahap kelayakan yang ditetapkan.

“Daripada pening memikirkan sama ada menghantar kontinjen bawah 23 tahun adalah lebih baik MOM dan Majlis Sukan Negara, mengatur langkah untuk melahirkan atlet berwibawa dalam acara sukan yang dianggap lubuk emas iaitu menembak, renang dan olahraga,” katanya.

Sebagai rekod, Malaysia tetap ada menghantar atlet muda ke Sukan Sea dari dulu hingga sekarang untuk berjuang bersama rakan senior.

Ini termasuk perenang Nurul Huda Abdullah yang berusia 11 tahun pada temasya 1983, serta dua jaguh pecut yang menjuarai acara Riben Biru iaitu Khairul Hafiz Jantan , 19 (2017) dan Muhammad Haikal Hanafi , 20. (2019).

Kita juga harus ingat Sukan Sea juga penting dalam memastikan reputasi negara kekal baik khususnya daripada segi kutipan pingat.


Spread the love
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: