Oleh MOHD FARIQ
PENGARAH Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Aznan Hassan memberikan jaminan Stadium MBPJ yang bakal menjadi gelangang tuan rumah buat Selangor FC dan PJ City FC dalam saingan Liga Malaysia musim 2021 berada di tahap terbaik.
Keyakinan Aznan itu hadir selepas MBPJ dengan kerjasama PJ City dalam usaha baikpulih venue yang memiliki kapasiti 25,000 tempat duduk dan berlokasi di Kelana Jaya, Selangor.
Jelas lagi Aznan, penambahanbaikan sistem perparitan, padang, bilik persalinan serta bilik orang kenamaan (vvip) telah dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti serta imej Stadium MBPJ dalam kempen Liga Malaysia musim ini.
PJ CITY FC LABUR KOS JALIN KERJASAMA DENGAN MBPJ
Justeru, beliau optimis bahawa Stadium MBPJ bukan sahaja berada dalam keadaan bersedia sebaliknya dijangka menjadi salah satu gelanggang bola sepak yang terbaik dalam industri sukan negara.
“PJ City FC telah mengikat perjanjian selama lima tahun sejak tahun lalu untuk kegunaan Stadium MBPJ sebagai gelanggang tuan rumah mereka.
“Ini merupakan satu kerjasama yang cukup bermakna di antara MBPJ dan PJ City FC di mana PJ City FC juga telah mengeluarkan bajet sendiri sebanyak RM2 juta dalam kerjasama bersama MBPJ untuk membaikpulih venue ini sejak tahun lepas terutama padang dan trek larian.
“Ramai yang tidak mengetahui bahawa PJ City FC berbuat demikian untuk memastikan venue mereka bertambah kualiti terutama daripada segi padang.
“Kami bekerjasama baik dengan mereka sejak tahun lalu selepas bermula isu pandemik Covid-19 di mana kami telah memulakan kerja naik taraf padang berperingkat dan juga trek larian yang lebih baik selain kami juga menaiktaraf sistem perparitan yang turut menjadi elemen penting buat Stadium MBPJ,” katanya kepada CAKAPSUKAN.
Dalam masa yang sama, Aznan memberitahu proses baikpulih trek larian dijangka selesai pada April depan dan beliau menegaskan perjalanan pembaikan venue itu tidak menjejaskan perjalanan Liga Malaysia yang akan membuka tirai pada 5 Mac ini.
Katanya, MBPJ telah menolak beberapa permintaan pasukan lain untuk menggunakan Stadium MBPJ bagi memastikan kualiti venue berada dalam tahap terbaik di mana Selangor FC berpuashati dengan keadaan semasa gelanggang tersebut.
Sebagai rekod, Selangor FC sebelum ini mengunakan Stadium UiTM Shah Alam selepas Stadium Shah Alam sedang mengadakan proses baikpulih yang dijangka menelan masa sehingga dua atau tiga tahun.
“Harus diingat bahawa MBPJ telah membelanjakan sebanyak RM4.6 juta untuk lampu bagi menaikkan lux sehingga 2400 lux ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan masih mampu beroperasi dengan baik.
“Semua maklum bahawa pada tahun ini juga Selangor FC akan menggunakan Stadium MBPJ sebagai gelanggang tuan rumah mereka.
“Selangor FC yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Johan Kamal Hamidon turun padang meninjau keadaan venue pada minggu lepas dan beliau sendiri terkejut melihat keadaan padang yang amat baik jika di bandingkan sebelum ini .

“Kami menitikberat dalam hal penjagaan padang dan disebabkan itu juga kami hanya menerima PJ City FC dan Selangor FC untuk venue mereka dan terpaksa menolak juga beberapa permintaan daripada pasukan lain yang juga berminat dengan Stadium MBPJ.
“Selain itu pihak kami juga tidak akan membenarkan mana-mana aktiviti lain di atas padang termasuk permohonan kecuali sebagai contoh, perlawanan akhir tertentu sahaja dibenarkan seperti Piala Mokhtar Dahari untuk aksi final.
“Ini kerana ia akan memudahkan penjagaan and pengurusan padang yang lebih baik,” katanya.
**Mohd Fariq mempunyai pengalaman sebagai penulis bola sepak lebih 25 tahun
Hello, is that possible to ask MBPJ to open the stadium for ppl to use the running tracks?