
JUARA Piala Malaysia 2019, Perak FC hampir pasti tidak akan menyertai latihan Pra Musim Tiga Penjuru anjuran Uitm FC dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bermula 19 hingga 23 Februari nanti.
Walaupun pada peringkat awal Perak FC memaklumkan persetujuan untuk menyertai latihan pra musim namun dikhabarkan skuad bimbingan Mehmet Durakovic ini terpaksa melupakan kejohanan tersebut.
Ketua Pegawai Operasi Uitm FC, Mustaza Ahmad berkata, sehingga kini Perak FC masih belum mengesahkan penyertaan walaupun beberapa perbincangan bersama telah diadakan sebelum ini.
“Kali terakhir kami bermesyuarat secara maya adalah Isnin lalu untuk menerangkan SOP yang perlu dipatuhi semua pasukan bertanding, wakil Perak FC juga turut sama pada perbincangan tersebut.
“Setakat ini kami masih belum menerima surat rasmi penarikan diri Perak FC, tetapi memang kita harapkan mereka (Perak FC) akan bersama kita memandangkan segala persiapan termasuklah jersi dan bahan promosi telah dibuat,” jelasnya pada sidang media perlawanan persahabatan Pra Musim Merebut Shah Alam City Cup 2021, sebentar tadi.
Mustaza turut memaklumkan, pihaknya telah bersedia dengan perancangan lain jika benar Perak FC tidak dapat menyertai kejohanan tiga penjuru ini.
“Kita ada beberapa pilihan pasukan lain yang menyatakan hasrat untuk menyertai kejohanan kerana sebelum ini kita mengambil pendirian siapa cepat dia dapat.
“Perak FC terlebih dahulu menyatakan persetujuan berbanding Kedah Darul Aman FC , jadi kita terimalah Perak FC,” jelasnya.
Kejohanan yang bakal diadakan di Stadium Uitm FC itu mendapat tajaan sepenuhnya MBSA bernilai RM300,000 akan mempertemukan tuan rumah iaitu Uitm FC menentang Terengganu FC2 pada Jumaat ini sebelum selang dua hari kemudian TFC bertemu Perak FC.
Aksi terakhir iaitu pada 23 Februari pula menyaksikan perlawanan Perak FC menentang Uitm FC.
Semua perlawanan persahabatan akan bermula jam 9 malam dengan mengikuti SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) selain penekanan konsep gelembung sukan diberikan penekanan utama.
Add Comment