Bola Sepak Semasa Terkini

Nafuzi akui bakal hadapi banyak cabaran


Oleh : Mohd Fitrie Muhamad

SAINGAN Liga Super sentiasa menjadi bahan cerita untuk diperdebatkan oleh segenap lapisan masyarakat khususnya buat peminat tegar bola sepak tempatan.

Walaupun musim 2021 berdepan pelbagai ranjau ekoran pandemik Covid-19, nilai pertandingan itu sendiri sudah pun berada di tahap berbeza hingga menarik ramai jurulatih luar untuk mengecapi kehangatan Liga Super Malaysia.

Berbicara tentang jurulatih luar, adalah tidak adil untuk melupakan figura bernama Nafuzi Zain yang kini melatih Terengganu FC.

Ketika banyak pasukan memilih pengendali import, Nafuzi muncul antara tiga jurulatih tempatan bertuah yang masih mendapat kepercayaan.

Menariknya, Nafuzi merupakan yang paling bongsu namun pencapaian Terengganu FC musim lalu nyata sudah membuktikan kematangannya.

“Boleh dikatakan semua ini adalah rezeki saya. Apa pun, Irfan Bakti Abu Salim adalah watak penting dalam karier saya sebagai jurulatih dan saya banyak belajar daripadanya.

“Sebagai jurulatih tempatan paling muda, saya percaya banyak cabaran yang perlu saya hadapi. Sudah pasti saya juga mahu capai keputusan lebih baik berbanding musim lepas

“Untuk Piala AFC, seboleh-bolehnya saya mahu Terengganu melepasi peringkat kumpulan,” katanya kepada CAKAPSUKAN.

Selain Nafuzi, dua lagi ‘wakil negara’ ialah Zainal Abidin Hassan yang akan mengemudi Melaka United FC dan P Maniam (PJ City).

Bagi aksi Piala AFC, Terengganu FC berada dalam Kumpulan I, bersama Kaya FC (Filipina), Geylang International FC (Singapura) dan Shan United atau Ayeyawady United FC (Myanmar).

Satu aspek lagi yang menarik untuk mengikuti Nafuzi secara rapat adalah keputusannya ‘meremajakan pasukan’ dengan merekrut pemain muda dan melepaskan beberapa nama besar seperti bekas kapten pasukan, Lee Tuck.

Kira-kira 18 pemain dimiliki Terengganu ketika ini adalah berumur bawah 23 tahun dan antara pemain muda berbakat yang sudah ditandatangani ialah Faisal Halim dan Nik Akif Syahiran Nik Mat

“Pada masa sama, ianya bagus untuk perancangan masa panjang pasukan kerana pemain muda sudah pun didedahkan dengan aksi kompetitif.

“Ini peluang untuk pemain muda rebut. Apa yang kami sedang lakukan ini bukan hanya untuk kebaikkan pemain dan Terengganu saja tetapi secara tidak langsung ia baik untuk bola sepak Malaysia,” kata Nafuzi.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: