
SUBKHI SUDARJI
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin terus menerajui badan induk bolasepak negara selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan Kongres FAM ke-57 yang akan diadakan pada 13 Mac nanti.
Selepas berakhirnya tempoh pencalonan jam 5.30 petang tadi, difahamkan tiada pencalonan diterima bagi jawatan Presiden yang terus memberi ruang buat Hamidin meneruskan perancangan dan pelaksanaan beberapa misi dalam F:30.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan FAM, Prof Dato’ Dr Abdullah Mohamad Said berkata kepada CAKAPSUKAN, calon-calon yang layak bertanding dan memenuhi pencalonan bagi jawatan dalam Jawatankuasa Eksekutif FAM 2021-2025 akan menerima surat dari Jawatankuasa Pemilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam masa terdekat.
“Calon perlu memenuhi beberapa syarat Kod Pemilihan FAM. Jawatankuasa akan mengemukakan nama yang dicalonkan kepada beberapa agensi bagi pemeriksaan integriti termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Selepas proses integriti dan proses penerimaan pencalonan habis, FAM akan mengeluarkan senarai nama terakhir pada 26 Februari nanti,” jelasnya dihubungi sebentar tadi.
Ditanya mengenai nama-nama calon yang bakal bertanding, Dr Abdullah memaklumkan individu yang dicalonkan juga tidak mengetahui dirinya dicalonkan.
“Mereka (calon) sememangnya tidak mengetahui dirinya dicalonkan. Seandainya seorang individu dicalonkan bagi dua jawatan, dia perlu memilih salah satu jawatan sahaja sebagaimana mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Mengenai senarai nama pula, kita memang tidak boleh memaklumkan, hanya mereka yang dicalonkan atau pihak-pihak lain ,” tegasnya.
Pada Kongres FAM Ke-57 yang akan diadakan pada 13 Mac 2021 di Hilton Petaling Jaya, sebanyak 17 kerusi diperuntukkan dalam Jawatankuasa Eksekutif FAM iaitu seorang Presiden, dua orang Timbalan Presiden, empat orang Naib Presiden dan 10 orang Exco (termasuk dua kerusi yang diperuntukkan khas untuk wanita).
Mengikut Artikel 27 (4) Statut FAM, calon yang ingin bertanding jawatan Presiden memerlukan minimum 6 pencalonan dari ahli-ahli gabungan FAM, jawatan Timbalan Presiden memerlukan minimum 5 pencalonan, jawatan Naib Presiden memerlukan minimum 4 pencalonan manakala jawatan Exco memerlukan minimum 2 pencalonan.
Add Comment