Bola Sepak Terkini

Safiq Rahim kembali bersama JDT


SAFIQ RAHIM

BEKAS Ketua pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim kembali  bersama bekas pasukan lamanya.

Perkhabaran gembira ini dikongsikan laman sesawang rasmi pasukan, Johor Southern Tigers (JST) yang memuatnaik video berdurasi 28 saat mengenai kehadiran Safiq yang juga bekas pemain skuad kebangsaan itu, sebentar tadi.

Video berkenaan pada awalnya mengimbau kembali kejayaan Harimau Selatan meraih gelaran Juara Liga Super sambil piala dijulang Safiq yang ketika itu merupakan ketua pasukan.

Pertahanan JDT, Matthew Davies bersama rakan sepasukan Aidil Zafuan Abd Radzak yang menyaksikan video berkenaan menyatakan kerinduan dan membayangkan aksi pemain nombor 8 dimana ketika itu dipakai Safiq Rahim.

“Saya dengar ada orang berbicara dan merindui pemain nombor lapan,” jelas Safiq sambil disambut dengan ucapan selamat kembali oleh Matthew.

Malah, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut mengucapkan selamat kembali kepada Safiq dalam satu komen beliau pada akaun Instagram rasmi kelab, officialjohor, hari ini.

“Selamat pulang SR8 (Safiq). 8 untuk misi (ke) 8,” tulis Tunku Ismail yang dipercayai berkaitan misi JDT merangkul kejuaraan Liga Super buat kali kelapan musim ini.

Untuk rekod, pemain tengah kelahiran Kuala Selangor itu mula menyertai skuad Harimau Selatan pada 2013 selepas berhijrah dari Selangor.

Sepanjang enam musim bersama JDT hingga 2018, Safiq berjaya meraih pelbagai kejuaraan termasuk memenangi Piala AFC pada 2015.

Selain hebat bersama JDT, dia juga berjaya membantu skuad Harimau Malaya menjulang Piala AFF pada 2010 buat pertama kalinya dalam sejarah kejohanan serantau itu.

 

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d