KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) dan Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) telah menjelaskan tunggakan gaji dan elaun pemain secara keseluruhan bernilai RM915,000.00.
Ketua Pegawai Eksekutif MUFC, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri berkata, jumlah ini termasuklah bayaran buat pemain import musim lalu, Uche Agba serta bekas pemain musim lalu, Curran Lawrence Singh Ferns.
“Sehingga kini, MUFC bersama MUSA telah berjaya menjelaskan tunggakan keseluruhan gaji hampir RM915,000.00 termasuklah elaun.
“Bagi tunggakan keseluruhan gaji bekas pemain import, Narupon Wild Putsom akan dilunaskan dalam masa terdekat bagi mengelakkan tindakan larangan pendaftaran pemain pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia 2021,” ujarnya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi.
Mohd Saiful berkata, pembayaran tunggakan gaji dan elaun para pemain dan pegawai pasukan Melaka United musim 2020 pula telah mula dibayar mengikut jadual pembayaran yang telah dipersetujui antara kedua-dua belah pihak.
“Pembayaran berjadual ini membabitkan seramai 17 pegawai pasukan musim lalu dan 18 pemain yang masih kekal bersama pasukan. Tunggakan keseluruhan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah berjaya dilunaskan sehingga kini manakala tunggakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sudah mula dibayar mengikut jadual pembayaran yang telah ditetapkan.
“Usaha menyelesakan segala tunggakan bagi memastikan penyertaan Melaka United FC dalam saingan Liga Malaysia 2021 yang dijaduakan bermula 5 Mac 2021 tidak berdepan masalah dan tidak dikenakan tindakan yang boleh menjejaskan imej bolasepak Melaka,” tegasnya.
Add Comment