Bola Sepak Semasa Terkini

FIFA ARAHKAN FAS LUNASKAN GAJI GILLAN


Ian Gillan

MOHD FITRIE MUHAMAD

KETIKA tumpuan terarah kepada kes antara Mohamadou Sumareh dan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), tanpa sedar ada satu lagi arahan dikeluarkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap persatuan bola sepak tempatan.

Dikatakan, FIFA turut mengarahkan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) melunaskan segala tunggakan kepada bekas bekas jurulatih, Ian Gillan ketika mengikat kontrak selama dua tahun pada 2018 dan 2019.

Menurut Gillan yang kini bertugas sebagai Pengarah Pembangunan Belia bersama Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), FIFA membuat keputusan mengarahkan Sarawak membayar tunggakan gaji, cukai dan faedah 5 peratus pada 24 Oktober 2020 namun sehingga hari ini belum ada apa-apa.

Gillan mendakwa ia membabitkan tunggakan lebih RM550,000 merangkumi gaji dan juga cukai.

Gillan berkata secara eksklusif kepada CAKAPSUKAN, ekoran daripada tunggakkan cukai, dia berdepan pelbagai masalah khususnya membabitkan hal perbankan kerana gagal untuk mendapatkan visa kerja yang lengkap.

“Kerana Sarawak tidak melangsaikan cukai, saya berdepan pelbagai masalah setiap hari terutamanya isu membabitkan bank kerana saya tidak boleh mendapatkan visa. Jika cukai tidak diselesaikan, timbul masalah visa.

“Bank tidak benarkan duit didepositkan ke dalam akaun atau pun melakukan pindahan wang. Gaji saya bersama Kedah tidak boleh dimasukkan ke dalam akaun kerana ianya disekat ekoran masalah visa dan cukai.

“Ia menjadi detik paling sukar dan orang tidak akan faham sehingga mereka sendiri yang jadi mangsa keadaan,” katanya.

Sebelum ini, arena bola sepak negara kecoh apabila FIFA mengarahkan PBNP membayar AS$1.2 juta (RM4.9 juta) kepada bekas pemain mereka, Sumareh.

Membingungkan lagi, Gillan mendakwa kali terakhir Sarawak memberikan jawapan adalah ketika FIFA membuat keputusan dan selepas itu tiada maklumbalas walaupun peguamnya, Lars Westhoff sudah banyak kali menghantar e-mail.

“Sehingga hari ini Sarawak masih berdiam diri. Peguam akan pergi sekali lagi kepada FIFA.

“Peguam saya akan terus berusaha untuk kes ini dan akan melakukan apa saja yang diperlukan bagi mendapatkan keadilan terhadap segala tunggakkan,” katanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: