MOHD FITRIE MUHAMAD
JIKA disebut nama Zulhelmi Zainal Azam pasti ramai mengenali figura ini, yang kini bertugas sebagai wartawan sukan bersama saluran Astro Arena.
Bagi peminat bola sepak, Zulhelmi sering menjadikannya sebagai rujukan khususnya berkaitan perkembangan semasa dan juga berita perpindahan pemain khususnya menerusi laman sosial Twitter @zulhelmizainal1.
Tanpa sedar figura inilah yang menjadi antara yang terawal kepada pembabitan atlet dalam bidang penyiaran seperti yang sering dipraktikkan masa kini.
Mengimbau semula perjalanan karier, bapa kepada tiga cahaya mata ini sebenarnya adalah bekas pemain bola sepak untuk pasukan belia Selangor dan pernah muncul sebagai rakan sepasukan bekas kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim dalam beberapa pertandingan ketika mewakili negeri kelahirannya.
Boleh dikatakan Zulhelmi atau lebih dikenali sebagai Zul dikalangan rakan media cukup bertuah kerana jika dahulu kaki adalah senjata, kini giliran tanganya berbakti sebagai aset penting dalam rutin seharian mencoret berita untuk tatapan umum.
Zul berkata kepada CAKAPSUKAN, dia gembira setiap kali dapat berjumpa dengan bekas rakan-rakan dalam bola sepak ketika melakukan tugasan.
“Saya mula kenal Safiq ketika satu pertandingan peringkat sekolah rendah. Kemudian pada 2003 saya, Safiq dan Nasriq Baharom mewakili Selangor untuk Piala Coke malah saya juga pernah juga bermain satu padang dengan beberapa lagi pemain profesional sedia ada sekarang.
“Semua itu adalah kenangan manis bagi saya. Selepas itu saya merasakan tidak mampu pergi jauh dalam bola sepak kerana faktor fizikal dan ambil keputusan sertai futsal bersama skuad Malaysia B-21 bagi membolehkan saya membahagikan masa dengan pelajaran di Malaysia Institute of Integrative Media (MIIM).

“Saya terbiasa dengan media ketika mengikuti ayah (Zainal Azam Muda) yang bertugas sebagai jurukamera di Radio Televisyen Malaysia (RTM). Seterusnya saya menjalani latihan praktikal di Astro Awani dan seterusnya diserap bekerja bagi program wanita.
“Bezanya bermain dan menulis sukan, dahulu saya di padang tetapi sekarang di luar. Pengalaman bermain, minat, mampu menyelami diri sebagai seorang pemain dan mengenali mereka mungkin kelebihan buat saya tetapi tanpa rezeki serta peluang, ia mungkin tidak meletakkan saya ke tahap sekarang,” katanya.

Walaupun meninggalkan bola sepak yang dilabel dunia glamor lebih awal, Zul langsung tidak rasa menyesal kerana masih berpeluang membabitkan diri dalam bidang sukan yang cukup diminati.
Pilihan diambil nyata tepat kerana walaupun tidak bergelar atlet Malaysia, dia masih boleh wakil negara sebagai wartawan di pertandingan besar dan temasya seperti Sukan Komanwel.
“Banyak kenangan diraih dan selain Sukan SEA, saya juga pernah membuat liputan di temasya Sukan Komanwel, pertandingan bola sepak antarabangsa.
“Banyak pahit manis pernah dilalui antara yang masih saya ingat adalah ketika membuat liputan kekalahan besar 10-0 Harimau Malaya kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 dan kejayaan skuad Bawah 23 Tahun ke suku akhir Kejuaraan AFC B-23 pada 2018.
Selain aktif di Twitter, Zul yang pernah berada dalam senarai 32 terakhir pertandingan Hero Remaja 2007 turut dikenali menerusi akaun Tiktok yang disifatkan sebagai platform mengetengah dirinya untuk terus maju dalam bidang penyiaran.
“Pada awalnya, ia sekadar suka-suka tetapi seakan ada sambutan. Ia salah satu platform dan di luar negara sudah ramai menggunakan media sosial ini,” katanya.
Profil
Nama Penuh: Zulhelmi Zainal Azam
Tarikh lahir: Rahsia
Asal: Kuala Lumpur
Sekolah: SK Alam Megah
: SMK Alam Megah
Pendidikan: Diploma (MIIM dulu dikenali Akademi TV3)
[…] Portal Cakap Sukan, TikTok Cucur Udang & Zul Zainal […]