Bola Sepak Semasa Terkini

Liga Malaysia 2021, Cabaran dan Halangan


Nizam Archibald (Penulis Bebas)

LIGA Malaysia 2021 setakat ini nampaknya masih samar. Semua pasukan dan pemain nampaknya sudah mula tepu kerana tidak dapat turun berlatih. Semuanya sekadar berlatih sendiri di rumah dan itu pun hanya sendirian kerana Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) yang sedang dilaksanakan di seluruh Malaysia kecuali Sarawak. 

Pada tahun 2020, Liga Malaysia hanya berlangsung separuh musim dengan Piala FA, Piala Malaysia, Piala Cabaran, Liga M3 dan Liga M4 dibatalkan. Covid benar-benar merencatkan bolasepak tempatan. Untuk tahun ini, pasukan-pasukan juga sudah mula mempersiap pasukan dengan menandatangani pemain-pemain baru menjelang sepak mula Liga Malaysia 2021. 

Ada beberapa cadangan telah ditimbulkan bagi memastikan Liga Bola Sepak Malaysia 2021 dapat berlangsung, dengan liga luar negara menjadi contoh. Kita telah melihat liga di Eropah, bahkan di Asia dan Asia Tenggara seperti Thailand yang telah memulakan liga mereka. 

SUMBER KEWANGAN KUKUH

Jika kita mengambil contoh kelab di Liga Perdana Inggeris, mereka melakukan ‘swab test’ untuk mengesan Covid-19 dengan kerap dan jika ada pemain atau pegawai yang dikesan dijangkiti virus berkenaan, mereka akan dikuarantin sehingga pulih sebelum dibenarkan untuk kembali.

Seperti yang kita tahu, untuk melakukan ujian untuk mengesan covid-19 ini, ianya bukanlah murah. Harga untuk ujian RT-PCR adalah antara RM220 hingga RM388 dan harga untuk ujian RTK-Antigen di klinik swasta ketika ini adalah antara RM90 hingga RM170.

Jika Liga Malaysia ingin mengikut jejak langkah liga-liga di Eropah, mereka perlu melakukan ujian secara kerap. Jika skuad mereka memiliki sekitar 20 orang pemain (tidak termasuk) dan kita mengambil harga paling rendah untuk ujian RT-PCR yang dikatakan lebih tepat, setiap pasukan perlu mengeluarkan belanja sebanyak RM4,400.

Perlu diingat ini hanya untuk sekali ujian sahaja dan untuk 20 orang pemain, tidak termasuk pegawai. Jika liga mahu berjalan tanpa sebarang masalah, setiap pasukan perlu melakukan ujian beberapa kali sepanjang tempoh liga berlangsung.

Adakah setiap pasukan mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk mengeluarkan belanja lebih sedangkan ada pasukan yang mempunyai masalah untuk membayar gaji?

Pasukan-pasukan yang tidak beraksi di Liga Perdana Inggeris, di Liga Championship contohnya, juga bergelut dengan bayaran tambahan ini dan memerlukan bantuan. Sebagai contoh, pasukan Chelsea telah membantu lawan mereka di Carabao Cup, Barnsley FC untuk melakukan ujian sebelum perlawanan. 

Mungkin apa yang boleh kita lakukan jika benar-benar mahu liga berlangsung adalah mengikut jejak langkah liga bola keranjang di Amerika Syarikat, NBA. Pihak NBA telah meletakkan pasukan-pasukan NBA dalam satu gelembung yang ketat untuk memastikan liga mereka dapat ditamatkan bagi musim 2020.

Pada tahun lalu, pasukan-pasukan yang beraksi telah ditempatkan di Walt Disney World Resort, Florida selama tiga bulan sepanjang liga berjalan. Pemain-pemain tidak dibenarkan keluar dan makanan akan dihantar kepada mereka di hotel.

Ini sama seperti yang dilakukan oleh UEFA pada tahun lalu untuk Liga Juara-Juara (UCL) dan Liga Europa di mana perlawanan berlangsung di gelanggang neutral.

Portugal telah dipilih untuk UCL dan Jerman untuk pasukan yang bertanding di UEL. Semua pemain perlu kekal berada di hotel penginapan jika tiada latihan atau perlawanan.

Bagi Liga Malaysia, jika kita mahu mengambil langkah yang mudah, mungkin kita boleh melakukan langkah seperti ini.

Tambahan pula, tiada penyokong yang boleh hadir, mungkin untuk meletakkan semua pasukan di 2-3 gelanggang neutral dengan SOP ketat boleh dilakukan untuk memastikan liga kekal berlangsung.

Tetapi, ini juga memerlukan belanja yang tinggi kerana setiap pasukan perlu menanggung kos penginapan sepanjang mereka berada di tempat berkenaan, kecuali jika MFL atau pasukan-pasukan bertanding mampu mendapatkan penaja. 

Selain daripada pasukan, pemain juga perlu memainkan peranan. Tidak guna jika ujian dijalankan dengan kerap atau beraksi dalam ‘bubble’ jika pemain sendiri tidak disiplin.

Kita boleh melihat betapa ketatnya peraturan pasukan-pasukan di EPL di mana pemain-pemain perlu menjaga diri mereka sendiri dan tidak sesuka hati berjumpa orang selain yang berada dalam ‘bubble’ mereka.

Pemain-pemain tidak boleh pergi ke mana-mana acara yang akan dihadiri orang di luar gelembung mereka demi memastikan mereka tidak dijangkiti. Mereka perlu sentiasa berada di rumah jika tiada perkara penting yang memerlukan mereka untuk keluar.

Sebagai contoh, Pemain Tottenham Hotspur, Sergio Reguillon telah didenda oleh Jose Mourinho kerana didapati melanggar peraturan setelah didapati menyertai satu pesta keramaian ketika Krismas bersama beberapa rakan sepasukannya. 

Jadi, apakah nasib Liga Malaysia 2021? Adakah ia mampu berjalan dengan lancar? Sudah beberapa kali tarikh ditunda dan yang paling terkini dikatakan akan bermula pada 5 Mac nanti.

Melihat pada jumlah kes yang masih kekal melepasi 3,000 dengan hanya baki lebih kurang 3 minggu sahaja lagi sebelum liga bermula, adakah ia akan ditunda lagi?

Jika kekal berlangsung, apakah SOP yang akan dilaksanakan? Pastinya semua pasukan, pemain dan penyokong sudah tidak sabar untuk liga bermula, tetapi dalam memerangi covid ini, kita perlu memastikan ada peraturan yang jelas dan ketat bagi memastikan tidak akan ada kluster bolasepak yang muncul hanya kerana kita mahu liga berjalan.

Sedikit kealpaan akan menghancurkan terus industri bolasepak kita. 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: