Bola Sepak Gaya Hidup Semasa Terkini

Macam baru lepas selesaikan hutang RM1 juta!

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

 

MOHD FITRIE MUHAMAD

“MACAM baru lepas selesaikan hutang RM1 juta!

Itu reaksi Mohd Badhri Radzi kepada CAKAPSUKAN ketika bercerita kemunculan semulanya dalam bola sepak tempatan bersama Kelantan United FC untuk kancah Liga Premier.

Akur usianya makin meningkat dan terpaksa bersaing dengan pemain lebih muda, Mohd Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya tidak mahu namanya hilang ditelan zaman.

Walaupun kini aktif berniaga baju dan makanan Thailand, Mukbang, Piya akui yang dia cukup merindui dan sukar untuk berpisah dengan sukan diminatinya.

“Ada kalanya saya rasa seperti bermimpi dan bertanya kepada diri sendiri adakah betul saya akan bermain bola sepak? Tetapi mungkin ini rezeki saya.

“Jadi sekarang saya kena gandakan latihan kerana saya sedar sentuhan mungkin sedikit menurun dan ‘pace’ juga sedikit perlahan untuk kejar pemain muda.

“Terima kasih kepada pengurusan Kelantan United FC kerana mahu gunakan khidmat saya. Selagi ada kudrat, saya cuba buat terbaik dan sedia berkongsi apa yang saya ada dengan pemain muda,” katanya ketika dihubungi.

Untuk rekod, Piya, yang masih berstatus bujang, mula mencipta nama bersama Kelantan pada 2008 sehinggalah musim 2018 apabila namanya bersama beberapa pemain senior lain digugurkan oleh pengendali ketika itu, Fajr Ibrahim.

Pada 2019, Piya menyertai Perlis namun jodohnya tidak panjang ekoran pasukan itu dibatalkan penyertaan kerana berdepan masalah tunggakan gaji sebelum menyertai Kelantan United FC pada tahun yang sama dan berjaya menjulang kelab berkenaan menjuarai Liga M3 namun musim lalu Piya langsung tidak terikat dengan mana-mana pasukan.

Sepanjang bersama Kelantan, Piya pernah menghadiahkan kejayaan Piala Malaysia buat pertama kali kepada negeri kelahirannya pada 2010 dan sekali lagi melakukannya pada 2012.

Selain itu, Piya juga pernah mengecapi kejayaan Piala FA (2012, 2013) dan kejuaraan Liga Super (2011, 2012) malah pernah dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2013.

Nama Piya yang bakal mencecah 39 tahun pasti sentiasa dalam ingatan peminat bola sepak Kelantan hingga dilabel Kapten Marvel selepas jasanya menjulang banyak trofi buat pasukan itu suatu ketika dulu.

Sedar tugasan besar menantinya dalam sukan diminatinya, Piya giat berlatih sendiri dan sudah pun berjaya menurunkan berat badan lebih 8 kilogram (kg).

Menceritakan pengalamannya berniaga Mukbang, Piya akui ianya hadir secara kebetulan tanpa dirancang.

“Alhamdulillah perniagaan berjalan lancar. Pada mulanya saya hanya sekadar memuatnaik di laman sosial secara suka-suka tetapi selepas itu ramai yang mesej dan telefon bertanyakan Mukbang.

“Apabila saya tanya adik, dia beritahu boleh buat. Jadi saya teruskan saja kerana sekurang-kurangnya dapat menambah pendapatan sampingan dan saya terus dengan kerja promosi.

“Dan untuk bola sepak pula, saya cukup bersemangat untuk turut beraksi dan berharap ianya dapat diteruskan seperti dirancang,” katanya.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: