Antarabangsa Badminton Semasa

BAM gugur lima pemain senior


Goh Soon Huat/Shevon Lai

 

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengugurkan lima pemainnya susulan prestasi mengecewakan di tiga kejohanan di Thailand baru-baru ini.

Pemain berkenaan ialah perseorangan wanita utama negara Soniia Cheah, pasangan beregu campuran  Goh Soon Huat/Shevon Lai dan Lai Pei Jing serta pemenang pingat emas beregu wanita di Sukan Komanwel, Vivian Hoo.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan BAM hari ini, keputusan ini dibuat oleh Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM.

BAM memutuskan untuk menggugurkan pemain terbabit selepas melakukan semakan berkala Project 24, iaitu pelan strategik bertujuan memupuk mentaliti mahu menang dan menghasilkan pemain terbaik dunia bagi membantu Malaysia memenangi pingat emas pada Olimpik Paris 2024 dan layak ke pusingan akhir Piala Thomas.

Pemain perseorangan lelaki Ter Chun Long dan Low Eu Cong, serta pasangan beregu lelaki Ching Kai Feng dan Ooi Jhy Dar turut digugurkan oleh badan sukan badminton kebangsaan itu.

Jawatankuasa turut memutuskan  Wyman Goh, Lee Shun Yang, Shaqeem Eiman (perseorangan lelaki), K. Letshanaa (perseorangan wanita), Yap Roy King, Nurfirdaus Azman, Loo Bing Kun dan Lwi Sheng Hao (beregu lelaki) yang pada masa ini dalam tempoh percubaan, diserap ke skuad pelapis kebangsaan.

“Susulan bedah siasat yang dilakukan ke atas kempen Jelajah Dunia BWF peringkat Asia di Bangkok, petunjuk prestasi utama (KPI) yang terperinci telah disediakan dan diserahkan kepada pasukan jurulatih serta pemain.

“Kami ucapkan terima kasih kepada pemain yang berkenaan atas komitmen, dedikasi serta sumbangan mereka kepada negara selama ini. BAM ucapkan selamat maju jaya kepada mereka yang akan mengorak langkah dalam kerjaya baharu.

“Tan Kian Meng (beregu campuran) dan Yap Cheng Wen (beregu wanita) diberikan peluang baharu untuk membuktikan diri mereka dengan arahan tegas bahawa mereka perlu mempamerkan peningkatan prestasi yang pantas,” ujar kenyataan berkenaan.

Soniia Cheah

 

Menurut kenyataan itu juga, jurulatih, khususnya bagi perseorangan lelaki dan wanita, telah diarah memberi tumpuan kepada peningkatan prestasi anak buah masing-masing memandangkan satu lagi semakan akan dibuat selepas saingan di Eropah bulan depan.

“Berikutan kejohanan berturut-turut di Eropah itu penting bagi kelayakan ke Olimpik Tokyo, latihan peringkat kebangsaan akan diperhebat, termasuk mengadakan sesi latihan mental untuk pemain.

“Setiap aspek sesi latihan akan dipantau rapi dan dirakamkan bagi pemeriksaan dan semakan selanjutnya. Setiap petugas di Unit Sains Sukan juga ditetapkan KPI agar mereka berusaha lebih gigih bagi menghasilkan keputusan yang terbaik,” ujarnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: