
PERSATUAN Bola Sepak Pahang (PBNP) dijangka mengemukakan rayuan terhadap keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mengarahkan persatuan itu membayar hampir RM5 juta kepada bekas pemainnya Mohamadou Sumareh.
Memetik laporan BERNAMA, bekas pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata PBNP akan menyerahkan perkara itu kepada peguam untuk tindakan lanjut.
Mohammed Suffian yang kini Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC berkata khidmat nasihat daripada pakar perundangan bola sepak antarabangsa mungkin juga akan digunakan PBNP dalam menghadapi kes tersebut.
“Ya, keputusan sudah pun ada tetapi kita inginkan justifikasi bagaimana jumlah (diarahkan bayar) itu dicapai.
“Perkara ini akan diserah kepada pihak peguam untuk menilai segala remedi atau langkah sewajarnya dalam tempoh 10 hari untuk kita buat rayuan kepada FIFA, untuk itu PBNP tidak tolak kemungkinan mengambil peguam antarabangsa untuk membantu dalam kes ini,” katanya
Semalam media tempatan melaporkan FIFA mengarahkan PBNP membayar kira-kira RM4.9 juta kepada pemain naturalisasi pertama negara itu susulan kemuncak isu tunggakan gaji bersama Pahang musim lepas.
Sumareh mengambil tindakan menamatkan kontraknya berbaki sehingga 2022 bersama Pahang selain membuat aduan rasmi ke FIFA selepas mendakwa terdapat keculasan berhubung pembayaran gaji ketika bersama skuad Tok Gajah musim lepas.
Add Comment