Antarabangsa Semasa Terkini

BUKU RM15 MENGUBAH SEGALANYA……


TIDAK ramai yang tahu bahawa buku terpakai yang pernah dibeli jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang berharga AUD$5 (RM15) telah menjadi inspirasi beraksi di Temasya Sukan Olimpik.

Azizulhasni yang berkongsi pengalamannya itu menerusi hantaran Facebook peribadinya menjelaskan membeli buku terpakai berkenaan di Sunday Market sekitar Melbourne.

Pada awalnya, dia bukanlah untuk membeli apa-apa pun tetapi sekadar cuci mata melihat barang-barang yang dijual serta suasana kemeriahan market tersebut.

“Sekitar pertengahan tahun 2007, saya di hantar ke Melbourne untuk menjalani latihan bersama skuad Elit dibawah kendalian jurulatih John Beasley.

“Pusing punya pusing di Sunday Market sekali ternampak ada orang jual buku-buku terpakai. Saya bukanlah ulat buku, tetapi saya suka buku dan bahan bacaan.

“Mata saya tergoda oleh satu naskah yang agak tebal dan gambar kulit hadapannya sahaja sudah cukup membuatkan saya jatuh hati

“Saya buka naskah tersebut lalu saya selak sehelai demi sehelai. Setiap selakan membuatkan saya terpegun, kagum dan kecanduan.

“Cerita, potret yang terpapar serta maklumat dalam naskah tersebut cukup sinonim dengan kemahuan saya, kehendak saya dan mungkin sebuah cita-cita dari seorang anak kampung yang berasal dari Dungun, Terengganu pada ketika itu,” katanya membeli Olimpik Sydney 2000 yang berharga AUD$5 (RM15).

IMPIAN DIPENTAS OLIMPIK

Tambah Azizulhasni, dia membeli buku terpakai dengan duit syiling yang disimpan untuk membayar parking di kota Melbourne.

“Dengan penuh kegembiraan saya beransur pulang sambil memasang impian dan cita-cita untuk beraksi di Sukan Olimpik suatu hari nanti,” katanya.

Setahun kemudian, Azizulhasni berjaya merealisasikan cita-citanya apabila membuat penampilan pertama di pentas Sukan Olimpik pada edisi 2008 di Beijing.

Pada Olimpik Rio 2016, dia mengukir sejarah menjadi pelumba basikal pertama negara meraih pingat selepas memenangi gangsa dalam acara keirin.

Terbaru, Azizulhasni kini sudah pun melayakkan diri bagi beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini dalam acara keirin dan pecut individu.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: