Sepak Takraw Terkini

Perancangan sertai Sukan SEA dan King Cup edisi ke-35 terjejas.


Dato’ Seri Ahmad Ismail

 

MOHD FITRIE MUHAMAD

SEGALA permasalahan berantai yang dihadapi Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dijangka akan dapat diselesaikan sekiranya kelonggaran dapat diberikan kepada sektor sukan dan rekreasi oleh pihak kerajaan.

Ketika ini, larangan aktiviti sukan berisiko boleh menjejaskan pemain, jurulatih dan juga pihak berkaitan seperti penaja serta merencatkan usaha pembangunan akar umbi.

Presiden PSM, Dato’ Seri Ahmad Ismail berkata kepada CAKAPSUKAN, larangan aktiviti sukan ketika ini juga turut menjejaskan perancangan terhadap skuad kebangsaan yang bakal menyertai Sukan SEA dan King Cup edisi ke-35.

“Memang ia ada beri banyak kesan besar kepada pelbagai pihak dan juga PSM sendiri. Daripada segi penganjuran Kejohanan STL Champion’s Cup, ia beri kesan kepada penajaan, menganggu pihak produksi dan latihan pasukan malah tidak dinafikan pengurusan pasukan yang mengambil bahagian juga mungkin turut menanggung peningkatan kos.

“Secara tidak langsung ia menganggu momentum pemain. Di sudut PSM pula, banyak perancangan untuk pembangunan turut tergendala, begitu juga dengan skuad kebangsaan.

“Baki lima hari saja lagi (Kejohanan STL Champion’s Cup) untuk dihabiskan. Bagilah kami segera tutup ‘fail’ untuk lihat kedepan bagi meneruskan segala perancangan selepas ini,” katanya.

Aksi pasukan Johor Tigris dalam Kejohanan STL Champion’s Cup sebelum dihentikan ekoran PKP. 

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengesahkan pihaknya telah mengemukakan permohonan untuk kelonggaran bagi membuka sektor sukan dan rekreasi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Reezal berkata ianya membabitkan cadangan, pendekatan dan SOP kelonggaran yang menyentuh keseimbangan antara kelangsungan ekonomi dan kesihatan awam.

Atas dasar itu, PSM begitu berharap kelonggaran dapat diberikan kepada sektor sukan dan rekreasi bagi menjamin kelegaan dan harapan kepada penggiat dan industri sukan

Ahmad berkata pihaknya berterima kasih kepada kerajaan Malaysia khususnya kepada Menteri Kanan Pertahanan (MENHAN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam mempertimbangkan dan berusaha keras agar cadangan kelonggaran aktiviti sukan dan rekreasi semasa PKP diteruskan.

“Saya penuh yakin bahawa kami di industri sukan negara akan tetap menyokong usaha kita semua untuk terus memerangi Covid-19 dan dalam masa yang sama akan terus kekal sebagai masyarakat Malaysia yang aktif dan cergas.

“PSM berjanji akan bersama-sama memastikan amalan pencegahan penularan jangkitan Covid-19 menjadi keutamaan dalam menghidupkan semula industri sukan tanah air. Kami penggiat sukan komited memelihara dan memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan akan sentiasa diamalkan dan dipraktikkan,” katanya.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: