Bola Sepak Semasa Terkini

Josue enggan pandang belakang


Josue antara pemain import yang memiliki kualiti dan memberikan impak buat pasukan.

MOHD FITRIE MUHAMAD

KEPULANGAN semula Kuala Lumpur United FC ke pentas Liga Super melengkapkan keterujaan pemain khususnya buat tonggak yang mengembalikan pasukan itu ke pertandingan utama Liga Malaysia (Liga M) daripada kancah Liga Premier musim lalu.

Kesungguhan pengurusan pasukan untuk mengembalikan kegemilangan skuad Ibu Kota dengan merekrut beberapa nama besar seperti Safee Sali membuktikan hasrat pasukan itu memberikan cabaran kepada pencabar lain.

Bintang import Kuala Lumpur United FC, Paulo Josue berkata kepada CAKAPSUKAN dia enggan menoleh ke belakang lagi dan mahu memanfaatkan peluang terhidang untuk membuka lembaran baru buat pasukan.

“Walaupun kami hanya sempat berlatih beberapa kali namun semuanya kelihatan bagus. Tetapi kami memerlukan sedikit masa lagi untuk mempersiapkan pasukan sebelum memulakan saingan

“Apa yang saya lihat daripada surat khabar dan sosial media, semua pasukan cukup serius mempersiapkan pasukan bagi menghadapi cabaran di Liga Super.

“Apa pun, Liga Super adalah pertandingan yang menarik untuk kami nikmati bersama rakan sepasukan,” katanya.

Nama pemain kelahiran Rio Grande do Sul, Brazil itu bukanlah asing dikalangan peminat bola sepak di negara ini khususnya penyokong Kuala Lumpur sejak mula menyertai pasukan pada 2017.

Pada tahun keduanya bersama pasukan, Josue mula membuka mata ramai pihak apabila muncul selaku ‘Raja Assist’ Liga Super malah membuktikan dirinya juga sebagai pakar sepakan percuma.

Ketika pasukan akan dibarisi pemain berpengalaman dan muda, Josue pastinya mahu mencuri perhatian Bojan Hodak sekali gus membuka peluang membalas jasa pasukan yang cukup mempercayai kemampuannya.

“Kini bergantung kepada jurulatih untuk mencari jalan terbaik buat pasukan. Kami harap dapat memberikan sesuatu kepada pengurusan yang memberikan kami keyakinan, begitu juga buat penyokong setia pasukan,” katanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: