Oleh Mohd Fariq
ESOK Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) bakal melancarkan jersi baharu untuk saingan Liga Malaysia bagi musim 2021.
Selangor FC akan merasmikan jersi mereka secara dalam talian secara langsung jam 9 malam disebabkan negeri Selangor masih menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam pandemik Covid-19.
Jersi Selangor; inilah tanda signifikasi kepada penyokong-penyokongnya yang bukan sekadar bersandarkan kepada elemen rekabentuk atau warna pakaian sebaliknya kemegahan itu ada daripada sisi kerohaniannya tersendiri.
Kemegahan memakai jersi Selangor bukannya berlaku dalam satu malam.
Akan tetapi sifat semulajadi itu hadir selepas penyokong-penyokong mereka sama-sama berdiri di belakang pasukan kesayangan ketika melakarkan sejarah dan tradisi yang cukup unik dalam Liga Malaysia.
TRADISI DAN KEJAYAAN PEMANGKIN KEHEBATAN JERSI SELANGOR
Sejak ditubuhkan pada tahun 1934, sudah masuk tahun ke 85 tahun ini, Selangor menggunakan logo yang berbentuk perisai bersama dua warna iaitu merah sebagai simbol keberanian dan kuning melambangkan kedaulatan.
Dan sejak tahun 1930an lagi, jersi Selangor telah banyak dikeluarkan syarikat terkemuka antaranya Puma, Adidas, Mizuno, Lotto, Kappa dan Joma menjadikan jersi mereka dalam kelas tersendiri.
Selaras dengan kejayaan kelabnya yang telah memenangi pelbagai gelaran dalam Liga Malaysia, maka tidak hairanlah mengapa pengenalan jersi baharu Selangor sentiasa menjadi sentimen cukup istimewa dalam hati penyokong-penyokong mereka dan juga daripada kalangan penyokong negeri lain.
AURA SUPERMOKH PENCETUS KEMEGAHAN

Tidak dilupakan juga bahawa elemen Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari juga menjadikan mengapa jersi Selangor memiliki nilai sentimental tersendiri.
Mokhtar yang dikenali SuperMokh bukan satu nama asing dalam dunia bola sepak negara di mana beliau yang menjadi legenda Selangor merupakan salah seorang pemain terbaik di Asia pada dekad 1970-an dan terkenal sebagai pemain bola sepak terbaik di Malaysia pada masa itu.
Kecintaan Mokhtar yang meninggal dunia 30 tahun dahulu (1991), terhadap Selangor bukan menjadi satu rahsia di mana beliau mengungkapkan: “Hidup dan mati saya untuk Selangor.”
Namun kata-kata keramat Mokhtar sebenarnya yang berkata: “Jika anda malu untuk berdiri dengan warna anda, lebih baik anda cari bendera lain!” membuatkan mengapa penyokong terasa lebih bangga menyarungkan jersi mereka apatah lagi yang mengungkapkan itu adalah legenda Selangor.
REVOLUSI SELANGOR FC TERUSKAN LEGASI
Zaman bersilih ganti dan penulis dapat melihat sebahagian penyokong Selangor masih ada rasa bangga mengenakan jersi pasukan kesayangan mereka.
Hari ini Selangor dijenamakan kepada Selangor FC selaras pengenalan pemisahan FC kepada Persatuan Bolasepak (FA) tetapi penulis percaya legasi hebat itu akan diteruskan oleh pemiliknya merangkap Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Jangan lupa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj, adalah peminat No. 1 bolasepak Selangor.
Semasa Tuanku menjadi Raja Muda Selangor ketika itu, baginda sentiasa berpegang kepada prinsip yang amat tinggi pada jersi pasukan Selangor.
“Beta mahu pemain yang memakai jersi Selangor harus tahu tanggungjawab dan nilai yang tersemat pada jersi yang di pakai.
“Ia adalah lambang kebanggaan Negeri Selangor,” titah baginda dalam salah satu wawancara bersama penulis ketika itu.
Kepada penyokong-penyokong Selangor, mereka harus ingat dan sentiasa terus megah memakai jersi keramat mereka dan pastikan beli jersi Selangor yang asli sebagai tanda terus menyokong pasukan kesayangan.
Di sini penulis ingin berkongsi rahsia; pelancaran jersi Selangor FC sepatutnya berlangsung di Stadium Merdeka pada tahun ini tetapi perancangan itu tidak dapat direaliasikan disebabkan PKP dalam pandemik Covid-19.
Mengapa Stadium Merdeka, kerana stadium keramat itu adalah amat sinonim dengan semua kejayaan pasukan Selangor, apatah lagi semasa kegemilangan Mokhtar Dahari.
Apapun penulis tetap percaya pelancaran dalam talian sekali pun tidak akan mengugat keinginan penyokong-penyokong mereka untuk mendapatkan jersi baharu Selangor pada kempen 2021 ini.
Kita tunggu apakah yang akan di sajikan oleh Selangor FC esok, apakah KEISTIMEWAAN jersi Selangor yang baharu ini, di mana difahamkan penulis elemen Lama (80an), dan Baharu, akan dijadikan pemangkin jersi kali ini.
Akhir kata daripada penulis, bangkitlah Datia Merah dan terus mewarnai Liga Malaysia.
**Mohd Fariq mempunyai pengalaman sebagai penulis bolasepak Selangor lebih 25 tahun





Add Comment