Bola Sepak Semasa Terkini

Harimau Malaya jalani kem latihan di USIM

Skuad Harimau Malaya menjalani latihan Padang A, USIM, Nilai, menjelang aksi Separuh Akhir 1 Piala AFF Suzuki 2018.

PADANG latihan di Universiti Sains Malaysia (USIM) Nilai, Negeri Sembilan dilihat alternatif terbaharu yang wajar digunakan Harimau Malaya sebagai lokasi kem latihan berpusat persiapan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam, pada Mac depan.

Ketika UAE dan Vietnam sudah melakukan persediaan lebih awal, Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe pada awalnya akan mengumumkan senarai barisan pemain yang akan melaporkan diri di Wisma FAM yang dijadualkan 15 hingga 26 Januari ini yang menjadi sesi latihan berpasukan pertama skuad kebangsaan sejak November 2019.

Namun perancangan ini pastinya perlu difikirkan kembali FAM ekoran pengumuman Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, petang semalam yang mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, WP Putrajaya, WP Labuan, Johor, Sabah dan Melaka.

Menerusi pengumuman rasmi itu juga, Kerajaan turut melaksanakan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dilaksanakan di enam buah negeri iaitu di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Melihatkan situasi semasa ini, padang latihan di Universiti Sains Malaysia (USIM) Nilai, Negeri Sembilan dilihat alternatif terbaharu bagi Cheng Hoe mengumpulkan barisan pemainnya sebagai persiapan pasukan.

Padang berkenaan bukanlah asing buat barisan pemain kebangsaan dan Cheng Hoe kerana sebelum ini, Harimau Malaya pernah menggunakannya bagi tujuan persiapan menghadapi Thailand pada saingan Piala AFF Suzuki 2018.

Selepas lima perlawanan, Malaysia hanya dipisahkan dua mata di belakang pendahulu Kumpulan G, Vietnam yang mengumpul 11 mata sementara Thailand pada kedudukan ketiga (lapan mata), UAE keempat (enam mata) dan Indonesia di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Malaysia dijadual menentang UAE di Dubai pada 25 Mac, sebelum melayan kunjungan Vietnam pada 30 Mac.

Layak ke Piala Asia 2023 adalah misi pasukan kebangsaan dalam Peta Hala Tuju FAM (F:30) dan selepas meraih kemenangan ke atas Thailand serta Indonesia dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini, Malaysia kini berada di landasan terbaik untuk layak secara merit selepas kali terakhir pada edisi Piala Asia 1980 di Kuwait.

 

 

 

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: