Lain-Lain Semasa Terkini

SOP baharu bakal diperincikan KBS

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

KEMENTERIAN  Belia dan Sukan (KBS) sedang meneliti beberapa perkara berkaitan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 13 hingga 26 Januari 2021.

Menerusi siaran media yang dikeluarkan KBS sebentar tadi, pihaknya akan mengumumkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan perinciannya dalam masa terdekat.

“KBS mengambil maklum akan pengumuman YAB Perdana Menteri berkenaan perkembangan semasa penularan Covid-19 yang berlaku  di negara kita. Keputusan ini adalah perlu bagi membolehkan Covid-19 dapat dikawal dan rantaian penularan dapat diputuskan.

“Perdana Menteri turut menyentuh beberapa perkara berkait soal aktiviti sosial termasuklah sukan berkumpulan yang tidak dibenarkan didalam kawasan PKP.

“KBS berterima kasih atas kelonggaran yang diberikan terhadap aktiviti Sukan dan rekreasi yang masih boleh diteruskan sepertimana dicadangkan oleh KBS,” jelas kenyataan tersebut.

Pada masa sama, KBS turut memaklumkan aktiviti sukan dan rekreasi masih boleh diteruskan bagi kawasan PKP dengan syarat dalam 10km radius dari tempat kediaman seperti berlari, berbasikal dan aktiviti bukan berkumpulan 1-2 orang sahaja sesama isi rumah yang sama sahaja.

“Bagi kawasan PKPB dan PKPP, SOP Sektor Sukan dan Rekreasi atau SOP Gelembung Sukan yang berkuatkuasa hendaklah dipatuhi sepanjang masa.

“Latihan pusat sepenuh masa bagi atlet-atlet negara yang pada ketika ini sedang dijalankan di Kompleks Majlis Sukan Negara Bukit Jalil, Kompleks Sukan Keramat, Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, Kompleks Sukan Paralimpik Kg Pandan dan Velodrome Nilai secara “quarantine-based approach” akan diteruskan dengan langkah kawalan pergerakan yang lebih ketat,” ujarnya.

Jelasnya lagi, bagi membantu dan memberi penerangan kepada rakyat berkaitan SOP semasa, Bilik Gerakan KBS bagi pematuhan SOP Sukan dan Rekreasi akan tetap beroperasi seperti biasa melalui emel dan panggilan telefon mulai jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

“KBS juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan semua rakyat khususnya peminat dan penggiat sukan agar sentiasa menjaga kesihatan diri dan keluarga. Kita ada tanggungjawab moral bersama agar penularan COVID-19 ini dapat diputuskan,” katanya.

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: