Lain-Lain Semasa Terkini

Shalin belum bersara sepenuhnya


Shalin kini memburu gelaran kejuaraan sirkit profesional yang masih belum dimenanginya.

MASIH belum bersara sepenuhnya, itulah perkataan sesuai yang dapat disimpulkan terhadap ratu tenpin boling negara, Shalin Zulkifli yang sebelum ini mengumunkan persaraan selaku pemain boling kebangsaan.

Hanya bersara sebagai pemain kebangsaan tetapi tidak dalam arena boling apabila dia kini giat merangka persiapan memburu kejuaraan kejohanan Sirkit Profesional boling yang berlangsung di Amerika Syarikat mulai April hingga Ogos 2021.

Menurutnya, persiapan rapi sedang dilaksanakan bagi menyertai kejohanan berkenaan dalam usaha melengkapkan koleksi kejuaraan  yang dimilikinya setakat ini.

“Dalam senarai, saya sudah menang di Sukan SEA, Sukan Asia dan salah satu yang masih belum menang adalah Sirkit Profesional. Sebab itu saya nak cuba capai, harap tahun ini, sebab saya tak tahu berapa lama lagi saya boleh bersaing.

“Salah satu sebab kenapa saya fikir nak bersara kerana saya banyak kecederaan. Kalau tanya doktor saya, kebanyakan kejohanan yang saya pergi saya cedera.

“Tahun 2015 pun saya kena buat pembedahan di kaki, macam lima tahun terakhir memang banyak kecederaan.

“Jadi, saya nak kembalikan badan saya sihat sebelum saya pergi pada April nanti, itu pun bergantung kepada situasi semasa (COVID-19), harap semua sudah reda,” katanya  pada sidang media khas  persaraannya, di Bukit Jalil, hari ini.

Tambah Shalin, sirkit profesional tenpin boling berkenaan juga agak berbeza dengan kejohanan tenpin boling yang biasa kerana segala persiapan dari awal hingga akhir perlu dikendalikan atlet itu sendiri.

“Sebenarnya ini bukan kali pertama saya menyertai sirkit ini, kerana saya adalah antara atlet ten pin boling negara terawal yang menyertainya.

“Lagi pun sejak kecil, saya selalu tengok yang menang sirkit ini adalah ‘mat saleh,’ tapi sekarang atlet kita pun dah ada yang menang dan harapnya saya pun dapat ikut jejak langkah mereka,” katanya.

Shalin yang mencipta kerjaya cemerlang dengan mengumpul 74 pingat sepanjang penglibatannya selama 28 tahun di peringkat antarabangsa menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada ketua jurulatih kebangsaan Holloway Cheah, Selasa lepas.

Shalin mula bermain boling ketika berusia sembilan tahun dan pada 1991 beliau dinobatkan sebagai Olahragawati Muda Harapan Selangor.

Tiga tahun kemudian, beliau memenangi Kejohanan Wanita Kent Malaysian All-Stars 1994 dengan menjadi pemain termuda serta pemain Malaysia pertama melakukannya dan sejak itu beliau tidak berpaling ke belakang dalam sukan yang diminatinya dengan merangkul pelbagai gelaran sama ada di peringkat kebangsaan, Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel mahu pun dunia.

Beliau dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan sebanyak lima kali iaitu pada 1994, 1996, 1997, 2001 dan 2002.

Bekas pemain nombor satu Asia itu pernah meraih pingat emas Kejohanan Dunia sebanyak tiga kali iaitu pada 2003 di Malaysia, 2007 di Mexico dan 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: