Bola Sepak

Abang Man mesra masyarakat bola


Norizam pernah beraksi untuk skuad Melaka.

ABANG Man penuh hemah dalam berdiplomasi dan orang lama dalam bola sepak Melaka.”

Tanpa berselindung, bekas penyerang Melaka, Norizam Ali Hassan, memberikan sokongan padu kepada Noor Azman Rahman atau lebih mesra disapa sebagai Abang Man, yang bakal mempertahankan jawatan Naib Presiden dalam pemilihan Kongres Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) pada Ahad ini.

Jelas Norizam yang pernah memenangi trofi kasut emas selepas meledak 13 gol pada tahun 2001, Noor Azman bukanlah satu nama asing dalam komuniti bola sepak tempatan khususnya di bumi Melaka.

Norizam yang pernah menyarung jersi Kedah, Terengganu dan Perak sepanjang kariernya, menegaskan Noor Azman wajar terus berada dalam kepimpinan tertinggi MUSA atas pengalaman beliau menjadi jambatan terbaik dalam hubungan pemain, dan pegawai bersama pihak pengurusan persatuan atau kelab serta pemegang taruh yang lain.

Noor Azman, 53, yang berasal dari Alai, dipilih sebagai Naib Presiden MUSA selepas mendapat pencalonan melebihi 30 peratus pada Kongres MUSA ke-64 awal tahun ini. Beliau yang kini memegang tugas selaku pegawai khas Presiden MFL pernah memegang kerusi Setiausaha Agung MUSA pada 2015-2018. Beliau juga pernah menganggotai Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM serta Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM.

“Saya mengenali Abang Man cukup lama dan beliau bukanlah satu individu asing dalam dunia bola sepak tempatan. Berbekalkan pengalaman sedia ada, saya yakin penyokong-penyokong bola sepak Melaka mahu Abang Man terus berada dalam kelompok pengurusan tertinggi.

“Dalam komuniti bola sepak Melaka, siapa tidak kenal Abang Man? Tutur bahasanya lembut, peramah dan sering tampil menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan.

“Sikap serta diplomasi yang tinggi menjadikan Abang Man cukup disenangi dan sudah pasti saya secara peribadi akan memberikan sokongan kepada beliau untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden MUSA.

“Saya fikir ia bakal menjadi satu kerugian kepada bola sepak Melaka jika kehilangan khidmat Abang Man di mana pemain-pemain Melaka mengetahui individu ini cukup bekerja keras dalam mengembalikan kegemilangan bola sepak Melaka,” katanya.

Sebagai rekod, Abang Man bersama Datuk Khairi Anuar Ahmad, Datuk Fadzil A. Bakar, Datuk Shadan Othman, Datuk Wira Sazali Muhd Din dan Datuk Latiff Abu Bakar yang bakal bersaing merebut empat kerusi jawatan Naib Presiden MUSA.

Manakala jawatan Exco MUSA bakal menyaksikan 16 individu dicalonkan termasuk Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah, Mohd Azizi Shahril Abd Razak Khalim, Jalil Dollah, Razak Abu Hassan, Ridzuan Ahmad, Jezlee Pit, Muhd Asyaarie Abd Ghani dan Muhammad Razali Omar Othman masing-masing akan bertanding untuk lapan kerusi jawatan tersebut.

Sementara itu, Datuk Wira Yusoff Mahadi menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden MUSA.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: