Antarabangsa Bola Sepak Semasa Terkini

Mora terima Anugerah Kehormat Mexico

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim FC (JDT) Benjamin Mora menerima Anugerah Kehormat Mexico daripada kerajaan negara berkenaan, sebagai mengiktiraf pencapaian beliau bersama kelab itu, selain mempromosikan imej baik Mexico.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers hari ini, anugerah itu disampaikan kepada Mora dalam satu majlis khas di Istana Bukit Serene di sini, yang turut dihadiri Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang juga pemilik kelab JDT.

Dengan penerimaan anugerah itu, pengendali berusia 41 tahun itu menjadi warga Mexico pertama di Malaysia menerima anugerah berkenaan, yang disampaikan Kementerian Hubungan Luar Mexico melalui Institute of Mexicans Abroad dan Kedutaan Mexico, untuk mengiktiraf sumbangan cemerlang warga Mexico yang tinggal di luar negara.

Duta Besar Mexico ke Malaysia Carlos Felix Corona, para pegawai JDT serta keluarga dan rakan-rakan Mora turut hadir di majlis tersebut.

Mora, warga Mexico pertama menjadi jurulatih kelab profesional di Malaysia, menyertai JDT pada 2016 sebagai ketua jurulatih JDT II, sebelum dinaikkan pangkat mengendalikan pasukan utama dan seterusnya memimpin pasukan itu memenangi tiga kejuaraan Liga Super dan tiga lagi piala.

Sementara itu, Kedutaan Besar Mexico di Malaysia dalam kenyataan berasingan menyatakan bahawa anugerah tersebut diberikan kepada Mora kerana kepimpinan serta kerjaya cemerlang beliau sebagai ketua jurulatih JDT dan juga sumbangan beliau dalam mempromosikan persefahaman dan persahabatan antara warga Mexico dan rakyat Malaysia melalui  bola sepak.

Menurut kenyataan itu, Mora telah membina asas yang kukuh dan mempunyai pengalaman dengan bakat, disiplin serta tekad untuk memperoleh hasil terbaik dalam mencapai matlamat profesionalnya dalam bola sepak.

“Profesionalisme serta komitmen beliau dan sebagai warga Mexico pertama yang datang ke Malaysia menjadi ketua jurulatih, telah memperlihatkan keupayaan dan kepemimpinannya untuk melatih JDT di Malaysia.

“Tidak perlu diragukan lagi, usaha dan kerja keras Benjamin (Mora) telah membuahkan hasil dan terbukti sebagai warga Mexico yang merentasi sempadan dan telah banyak menyumbang kepada hubungan antara Mexico dan Malaysia,” menurut kedutaan itu.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: