Antarabangsa Bola Sepak Semasa Terkini

Luqman sedia buat perhitungan dengan Anderlecht

Oleh MOHD FARIQ

JIKA tiada aral melintang, Luqman Hakim Shamsudin dijangka akan membuat debut bersama skuad senior KV Kortrijk (KVK) dalam perlawanan rasmi Jupiler Pro League bertemu RSC Anderlecht pada Sabtu ini (2.45 pagi waktu Malaysia).

Apa yang pasti, inilah detik-detik yang ditunggu hampir seluruh penyokong negara yang sudah tidak sabar menyaksikan penyerang kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu membuat penampilan di pentas Eropah.

Sebelum ini, pemain berusia 18 tahun itu sekali lagi mencipta kejutan selepas membantu pasukan bawah 21 tahun (B-21) KVK menewaskan KFCO Beerschot Wilrijk hasil jaringan tunggal Luqman pada minit ke-83.

Tanpa berselindung, Luqman mengakui dia sudah tidak sabar untuk turun bermain menentang juara 34 kali liga Belgium itu jika diberikan kepercayaan daripada jurulatihnya, Yves Vanderhaeghe.

Jelasnya, dia memiliki misi dan visi peribadi di mana Luqman tanpa berselindung mengakui telah bersedia untuk memberikan aksi lebih daripada 100 peratus jika tersenarai dalam kesebelasan utama.

“Pertama syukur Alhamdulillah kerana permulaan (bersama KVK) akhirnya tersenarai dalam skuad utama untuk perlawanan akan datang (menentang Anderlecht).

“Secara peribadi, saya sudah bersedia dan seperti yang saya katakan sebelum ini saya akan memberikan segala-gala jika mendapat peluang untuk berada dalam kesebelasan utama.

“Apa yang pasti, saya dan rakan-rakan pasukan yang lain akan berusaha keras untuk merebut kesebelasan utama tetapi (peluang untuk dalam kesebelasan) saya serahkan kepada jurulatih (Vanderhaeghe),” katanya kepada CakapSukan ketika dihubungi di Kortrijk, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Luqman berharap peminat-peminat negara tidak cepat melatah terutama di laman media sosial jika dia tidak dapat diturunkan menentang Anderlecht.

Ini kerana Luqman lebih berminat mengambil pendekatan positif dan sentiasa berusaha keras untuk menarik perhatian jurulatihnya, Vanderhaeghe.

“Saya mahu bersikap realistik di mana sepanjang sesi latihan, saya telah memberikan yang terbaik dan syukur Alhamdulilah saya berjaya menjaringkan beberapa gol dalam perlawanan sebelum ini.

“Setiap gol itu memberikan suntikan motivasi besar kepada saya tetapi saya masih perlu bekerja keras untuk menyakinkan pengurus kerana kesemua pemain menaruh keyakinan terhadap pencaturan beliau,” katanya.

Sebagai rekod, KVK kini menduduki tangga kelapan Jupiler Pro League dengan mencatatkan 14 mata sepanjang sembilan perlawanan musim ini.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: