“KEMENTERIAN Belia dan Sukan tidak akan masuk campur sama sekali dalam pertelingkahan pemain dengan persatuan atau badan sukan yang mengaturkannya,” itulah reaksiTimbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berhubung pertelingkahan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai isu membabitkan pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh.
Ujar Wan Ahmad Fayhsal , KBS hanya akan memerhati terlebih dahulu dan seandainya ada keperluan untuk masuk campur Menteri akan umumkan.
“Seperti biasa apabila melibatkan persatuan sukan, KBS tidak akan masuk campur. Kita tidak akan masuk campur sama sekali dalam pertelingkahan pemain dengan persatuan atau badan sukan yang mengaturkannya.
“Kita hanya memerhatikan dahulu dan kalau ada keperluan barulah Menteri akan umumkan,” jelasnya.
Semalam, PBNP melalui kenyataan yang disiarkan menuntut FAM menyelesaikan isu membabitkan pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh.
PBNP berkata FAM sebagai badan induk seharusnya membantu mereka sebagai ahli gabungan dalam mendapatkan penyelesaian kemelut terbabit agar keadilan dapat ditegakkan, sambil mereka turut mendakwa Sumareh sebenarnya berbohong dan ‘mereka-reka cerita.’
Namun selang beberapa jam kemudian FAM turut mengeluarkan kenyataan rasmi dan menjelaskan bahawa tuduhan PBNP adalah tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.
FAM dalam kenyataan tersebut, memaklumkan sejak dari permulaan kes ini sehingga ke hari ini, FAM dengan jelas mengikut segala proses, ketetapan dan peraturan, serta turut membantu PBNP dalam memberikan keterangan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi menyelesaikan kes ini.
Add Comment