Bola Sepak Terkini

12 pasukan lulus, 6 lagi dalam proses


12 pasukan berjaya melengkapkan penswastaan kelab bola sepak (FC) masing-masing yang turut merangkumi proses pemisahan dari persatuan bola sepak (FA) ke FC.
Pasukan-pasukan tersebut adalah Johor Darul Ta’zim, Sarawak United FC, Petaling Jaya City FC, Armed Forces FC, Negeri Sembilan, Kelantan United FC, Melaka, Terengganu FC, Kuching FA, Sabah, Kuala Lumpur dan Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed berkata, enam pasukan lain masih dalam proses untuk melengkapkan penswastaan FC.
“Selangor, Kelantan dan Felda United FC yang sudah dalam peringkat akhir proses manakala Pahang, Pulau Pinang dan Kedah yang dalam peringkat pertengahan proses.
“PDRM, UiTM FC dan UKM FC pula berada dalam peringkat awal proses penswastaan FC.  Surat peringatan terakhir telah pun dihantar kepada pasukan-pasukan ini, semalam,” jelasnya dalam siaran media yang dikeluarkan FAM, sebentar tadi.
Mohd Firdaus turut memaklumkan, sekiranya gagal berbuat demikian, pasukan-pasukan yang berkenaan tidak akan diterima untuk menyertai pertandingan kelab di peringkat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) jika layak, serta juga pertandingan domestik iaitu Liga Super dan Liga Premier musim 2021.
“Ingin ditekankan di sini bawah tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 30 September 2020 tidak boleh dianjakkan lagi dan ia perlu diberi perhatian serta tindakan segera daripada pengurusan dan pegawai pasukan-pasukan ini bagi melengkapkan juga proses penswastaan FC ini.
“FAM sentiasa terbuka untuk memberikan bantuan dan pertolongan kepada mana-mana pasukan yang memerlukan supaya pada akhirnya, kita mahu melihat kesemua pasukan ini dapat melengkapkan juga penswastaan FC ini sebelum tarikh akhir tersebut,” ujarnya.
 
 

Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: