Bola Sepak Semasa

Harimau Kumbang selangkah rangkul kejuaraan….

KEYAKINAN Pulau Pinang semakin memuncak dalam pemburuan gelaran juara Liga Premier buat kali pertama selepas cemerlang dengan rekod bersih tanpa kalah dalam lapan perlawanan setakat ini.

Skuad kendalian Manzoor Azwira Abdul Wahid kekal di tangga teratas liga selepas menang 2-1 ke atas Kuala Lumpur, Sabtu lalu dengan 20 jumlah mata setakat ini, namun itu masih belum menjamin adakah trofi Liga Premier musim ini bakal menjadi milik mereka.

Jelas Manzoor, Kuala Lumpur yang kini di tangga kedua masih berpeluang untuk mengejar kedudukan takhta liga sekiranya Pulau Pinang gagal mengekalkan momentum kemenangan dalam baki tiga perlawanan akan datang memandangkan dua pasukan ini hanya dipisahkan dengan tiga mata sahaja.

Manzoor Azwira mahu pemainnya terus fokus untuk baki tiga perlawanan seterusnya.

Justeru, amat penting untuk barisan pemain kekal fokus bagi memastikan pasukan kekal dengan rekod bersih tanpa kalah apabila bakal berdepan UKM FC, Kelantan United dan Terengganu II selepas ini.

“Saya bersyukur kerana kita akhirnya dapat tiga mata kerana saingan daripada Kuala Lumpur sebenarnya agak kuat dan ia bukan satu perlawanan yang mudah.

“Tetapi, Pulau Pinang belum lagi bergelar juara Liga Premier dan tiga perlawanan lagi amat penting kerana tidak mustahil Kuala Lumpur boleh menang untuk mengejar kedudukan kami.

“Kami akan cuba pertahankan kedudukan ini daripada segi jaringan dan jumlah mata untuk memastikan kita betul-betul sah menjadi juara nanti,” katanya.

Kelantan kecundang 0-2 pada aksi menentang Kuching FA ditempat lawan.

Dalam perlawanan lain, Kelantan gagal meneruskan rentak cemerlang apabila tewas 0-2 kepada Kuching FA.

Kekalahan itu nyata memberi kekecewaan kepada pengendali, Yusri Che Lah yang tidak dapat menerima aksi yang ditampilkan oleh anak buahnya semalam di Stadium Negeri, Sarawak.

Kelantan yang ketika ini di kedudukan kesembilan liga hanya memenangi tiga perlawanan sahaja setakat ini dan sudah pasti ia bukanlah keputusan yang membanggakan bekas jurulatih Kuala Lumpur ini.

“Tiada apa yang hendak saya komen sebab saya memang kecewa dengan kekalahan ini.

“Keputusan pada malam ini memang saya tidak boleh terima, tersangat mengecewakan dan saya tak mahu fikir lagi perlawanan akan datang, saya cuma kecewa, itu sahaja, terima kasih”, jawabnya ringkas dalam sidang media sejurus tamat perlawanan.

Dalam perlawanan lain, Johor Darul Ta’zim (JDT II) mengikut jejak langkah ‘abangnya’, Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila menang besar 6-1 ke atas Selangor 2 semalam sekali gus meletakkan mereka di tangga ketiga ketika ini.

Terengganu FC II pula hanya berpuas hati dengan satu mata apabila seri 2-2 dengan UKM FC manakala pasukan tercorot liga, Perak 2 juga pulang dengan satu mata selepas seri tanpa jaringan menentang Negeri Sembilan.

Perlawanan di Stadium Negeri, Sarawak pula menyaksikan Sarawak United berjaya meraih tiga mata selepas menang 2-1 ke atas Kelantan United.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: