Bola Sepak

Feichtenbeiner dilantik jurulatih sementara Selangor


PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) mengumumkan Pengarah Teknikal Kelab, Micheal Feichtenbeiner selaku pemangku tugas menggantikan B Sathianathan yang ditamatkan kontrak serta merta sehingga Ketua Jurulatih baharu diumumkan.

Menerusi kenyataan rasmi FAS, setelah membuat penilaian dan mengambil kira kesemua aspek prestasi semasa, pihak pengurusan FA Selangor telah memutuskan untuk menamatkan kontrak B Sathianathan  sebagai Ketua Jurulatih pasukan utama secara serta merta.

“Berikutan itu, tugas Ketua Jurulatih akan dipangku oleh Pengarah Teknikal kelab, Micheal Feichtenbeiner sehingga Ketua Jurulatih baharu diumumkan.

“FA Selangor ingin mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada B Sathianathan atas khidmat beliau membawa pasukan Selangor ke tempat ke-3 dalam saingan Liga Super 2019 serta mara ke peringkat Separuh Akhir Piala Malaysia musim lalu,” jelas kenyataan rasmi tersebut.

Terdahulu, B Sathianathan memaklumkan khidmatnya ditamatkan FAS dan ia berlaku kurang daripada 48 jam, selepas Selangor tewas 1-6 kepada pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Sabtu lepas.

Perkembangan itu disahkan Sathianathan selepas satu pertemuan pagi tadi, bersama kepimpinan tertinggi FAS antaranya, Presidennya Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Timbalan Presiden Datuk Seri Shahril Mokhtar.

“Saya dipecat. Saya jangkakan perkara ini dan sudah nampak tanda-tandanya sebelum ini. Apabila anda dipecat, anda perlu terima,” katanya dipetik BERNAMA.

Selangor mencatat satu kemenangan, dua seri dan satu kekalahan, dalam empat aksi Liga Super yang bermula hujung Ogos lepas, setelah saingan tertangguh hampir lima bulan susulan penularan pandemik COVID-19.

Keputusan itu menyaksikan juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali itu, hanya empat mata dipisahkan daripada zon penyingkiran di kedudukan ketujuh liga dengan 10 mata.

Beliau yang memiliki kontrak sehingga akhir musim ini mengakui, sedikit terkilan apabila tidak dapat menyempurnakan tugasannya sehingga saingan berakhir.

“Musim belum berakhir, kita masih ada Piala Malaysia selepas ini, apa-apa boleh berlaku. Saya percaya dengan baki tiga perlawanan Liga Super mudah buat Selangor untuk menang kesemuanya, dan tamatkan saingan liga di kedudukan kedua atau ketiga.

“Saya harap Selangor mencapai matlamat itu bersama jurulatih baharu. Saya tahu barisan pemain sedia ada cukup baik untuk Selangor,” katanya.

Sathianathan yang merupakan bekas jurulatih skuad kebangsaan, mengharungi dua musim bersama Selangor selepas dilantik sebagai pengendali skuad Gergasi Merah, pada November 2018.

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading