Bola Sepak Terkini

Sathia geram nak jadi penyerang


Sandro cuba melepasi kawalan pemain MU pada aksi di Stadium UiTM Shah Alam, malam tadi . (FOTO : FB Selangor FA)

SUBKHI SUDARJI

PENGENDALI Selangor, B Sathianathan menyimpan hasrat untuk menjadi “penyerang” namun statusnya sebagai jurulatih menghalang hasrat berkenaan selepas terpaksa melihat beberapa deretan peluang terhidang yang gagal diterjemahkan barisan penyerangnya.

Jelas Sathia, dia ternyata hilang kata-kata selepas skuad bimbingannya seri 1-1 ketika menentang Melaka United di Stadium UiTM, Shah Alam walaupun mereka mendominasikan perlawanan.

“Aksi menentang Petaling Jaya FC, Sabah sebelum ini kita juga mengawal permainan, lawan tidak banyak memiliki peluang berbanding kita tetapi kita gagal menjaringkan gol.

“Saya apa lagi nak cakap kalau pemain tidak jaringkan gol, sebagai jurulatih takkan saya nak masuk dan jaringkan gol. Kita perlu lihat kembali dan pertajamkan serangan, hairannya ketika latihan mereka mampu menjaringkan gol tetapi sebaliknya berlaku pada aksi sebenar.

“Beban menjaringkan gol tidak seharusnya diletakkan pada Ifedayo dan Rufino tetapi semua pemain perlu melaksanakannya terutamanya dari segi hantaran bola mati,” tegasnya.

Pada aksi malam tadi Melaka United terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti Uche Agba yang berjaya menewaskan penjaga gol Kharul Azhan Khalid pada minit ke-39.

Namun, kedudukan itu hanya bertahan kira-kira seminit apabila pemain tengah Selangor, Sandro Da Silva menyamakan kedudukan selepas menyudahkan umpanan Ifedayo Olusegun.

Percaturan Selangor menggantikan Sandro dengan pemenang kasut emas musim 2018, Rufino Segovia pada minit ke-80 juga tidak berhasil memberikan kemenangan kepada Red Giants.

Selangor  terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Brendan Gan dilayangkan kad merah pada masa kecederaan dan keputusan itu kekal sehinggalah tamat perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi 10 mata selepas tujuh perlawanan musim ini.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d