Bola Sepak Semasa Terkini

JDT diambang kejuaraan kali ketujuh berturut-turut

Gol tunggal Safawi ketika menewaskan TFC memastikan JDT terus memimpin liga dengan perbezaan lapan mata mengatasi Perak ditangga kedua.

SUBKHI SUDARJI

KEJAYAAN Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih tiga mata penuh ketika membenam cabaran Terengganu FC (TFC), 1-0 pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi meletakkan skuad bimbingan Benjamin Mora diambang kejuaraan kali ketujuh berturut-turut Liga Super.

Selepas dinobatkan gelaran kejuaraan Liga Super pada 2014, Harimau Selatan tidak menoleh ke belakang apabila terus mendominasikan saingan bola sepak tempatan untuk tempoh enam tahun berturut-turut dan kini mereka hanya menunggu masa untuk dinobatkan kejuaraan kali ketujuh.

Mengungguli takhta liga dengan 19 mata selepas tujuh perlawanan dan dibezakan lapan mata dengan Perak di tangga kedua, baki 4 perlawanan yang bakal ditempuhi dilihat tidaklah sukar buat Harimau Selatan meraih kemenangan.

Bakal menanti kunjungan Selangor di Stadium Sultan Ibrahim pada 19 september sebelum beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bertemu PJFC (25 September), kembali semula beraksi di laman sendiri bertemu Sabah (2 Oktober) dan mengakhiri saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat menentang Melaka United selang lapan hari kemudian.

Melihat kepada prestasi semasa pasukan dan barisan pemain yang dimiliki, Harimau Selatan dilihat tidak berdepan meraih mata penuh bagi baki perlawanan tersebut selain keingginan barisan pemain serta pengurusan yang mahu mencipta sejarah buat kelab.

Sebelum saingan bermula, Perak dan Terengganu selain Pahang dilihat mampu memberikan saingan kepada JDT namun semua lawan ini telah ditewaskan pada aksi terdahulu dan yang paling ketara adalah kejayaan menumbangkan Perak (7-0), Pahang (3-2) dan terbaharu TFC (1-0).

Bagi pengendali JDT, Benjamin Mora dia kini fokus meraih kemenangan pada baki perlawanan dan enggan terlalu memikirkan gelaran kejuaraan kali ketujuh berturut-turut.

“Kami akan fokus satu perlawanan ke perlawanan berikutnya, bagi saya setiap perlawanan adalah sukar dan prestasi pasukan ada kalanya turun dan naik. Semua pasukan inginkan kemenangan.

“Untuk perlawanan seterusnya menentang Selangor, cuba utk menang dilaman sendiri dan dari tersebut kami akan menang dan memenuhi sasaran serta mencipta sejarah buat pasukan,” jelasnya.

Pada aksi di Kuala Terengganu malam tadi, jaringan tunggal pemain kelahiran Terengganu, Safawi Rasid pada minit ke lima meletakkan pelawat didepan dan gol berkenaan kekal sehinggalah tamat wisel penamat.

Tiga mata berharga skuad Harimau Selatan itu adalah hasil kesilapan pertahanan TFC, Argzim Redzovic menolak bola ke belakang yang gagal dibaca penjaga gol, Shamirza Yusoff sebelum dihukum Safawi yang mudah menolak masuk bola dalam keadaan gawang terbuka luas.

Untuk rekod, JDT telah meraih mata penuh menumpaskan Kedah (1-0) pada 28 Februari, Uitm FC (2-1) 7 Mac, PDRM (1-0)  10 Mac sebelum tercicir mata apabila seri 1-1 menentang Felda United pada 14 Mac di Stadium Sultan Ibrahim.

Juara Liga Super enam kali berturut-turut ini kembali meraih kemenangan dengan membenam cabaran Pahang (3-2) di Stadium Darul Makmur pada 28 Ogos dan gah membelasah Perak (7-0) selang seminggu kemudian di laman sendiri.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: