Bola Sepak Semasa Terkini

Susun semula perancangan skuad B19

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menyusun semula perancangan skuad B-19 kebangsaan untuk disesuaikan dengan tarikh baharu kejohanan yang akan diumumkan oleh AFC nanti.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya akan menyusun semula perancangan skuad B-19 kebangsaan untuk disesuaikan dengan tarikh baharu kejohanan yang akan diumumkan oleh AFC nanti.

“Dengan berita penangguhan ini, kem latihan pusat Fasa 3 yang sepatutnya diadakan sepanjang September ini dibatalkan, begitu juga dengan perlawanan-perlawanan persahabatan yang telah dirancang sebelum ini.

“Ini bermakna, selepas berakhirnya kem latihan pusat Fasa 2 pada 29 Ogos 2020, para pemain telah dilepaskan terus untuk mereka kembali ke pasukan negeri/kelab masing-masing bagi mengharungi baki saingan  Liga Super 2020 dan Liga Premier 2020.

“Di pihak Sekretariat FAM, kita akan menyusun semula perancangan pasukan bersama dengan pihak pengurusan dan juga barisan kejurulatihan. Kita akan maklumkan nanti kepada para peminat dan juga pihak media,” kata Stuart.

Terdahulu FAM secara rasminya dimaklumkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bahawa Kejuaraan B-19 AFC 2020 yang sepatutnya berlangsung di Uzbekistan dari 14 hingga 31 Oktober 2020 telah ditangguhkan ke awal tahun 2021.

Keputusan tersebut dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif AFC yang berlangsung secara maya, petang semalam yang turut dihadiri Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin selaku salah seorang Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC.

Ia berikutan situasi semasa pandemik COVID-19 yang masih tidak menentu, sekali gus menyaksikan AFC tidak dapat meneruskan perancangan untuk mengadakan pusingan akhir kejohanan berkenaan mengikut tarikh yang ditetapkan itu.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad B-19 kebangsaan, Brad Maloney menerima berita penangguhan itu dengan nada positif biarpun pasukannya sudah pun melakukan persiapan awal sejak dari kem latihan pusat Fasa 1 bermula 6 Julai 2020.

“Sesuatu yang cukup baik untuk pasukan ini apabila kami telah dapat berlatih bersama sepanjang kem latihan pusat Fasa 1 dan Fasa 2.

“Tapi apabila pengumuman penangguhan ini telah pun dibuat oleh pihak AFC demi kesihatan dan keselamatan semua pemain dan pegawai pasukan terlibat, kita perlu menghormatinya.

“Kemudian nanti apabila kita sudah mendapat tarikh baharu kejohanan pada 2021 itu, kita akan memuktamadkan semula perancangan pasukan,” kata Maloney.

Pada majlis undian Kejuaraan B-19 AFC 2020 yang berlangsung di AFC House, Bukit Jalil pada 18 Jun 2020, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan D bersama Qatar, Tajikistan dan Yemen.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: