
JAMES Rodriguez memasang sasaran tinggi bersama kelab baharunya, Everton.
Pemain asal Colombia dan bekas bintang Real Madrid itu tekad membawa The Toffees kembali meraih trofi. Berpindah ke Everton tampak seperti penurunan bagi karier Rodriguez.
Ini kerana, sebelumnya dia kerap mewakili kelab besar selama merantau di Eropah seperti Porto, AS Monaco, sehingga Bayern Munich yang pernah menggunakan khidmatnya.
Namun begitu, Rodriguez tidak berpendapat sedemikian. Dia mahu mengubah status Everton daripada pasukan kelas pertengahan menjadi pasukan terbaik liga.
Apatah lagi, ketika ini skuad asuhan Carlo Ancelotti itu terus memperkuat pasukan dengan membawa masuk Allan dan Abdoulaye Doucoure yang didatangkan khas ke Goodison Park.
“Everton adalah kelab yang serius, ada banyak orang di sini berfikiran serius pada setiap peringkat yang bertekad untuk berprestasi dan itu bermaksud memenangi trofi.
“Bagaimanapun, ia tak akan terjadi dalam waktu singkat, itu adalah perancangan jangka panjang. Saya sudah melihat tanda-tanda positif bahawa kami boleh melangkah jauh.
“Meraih trofi adalah lebih jelas dan bukan sekadar kemungkinan,” kata Rodriguez dipetik BBC.
Everton diketahui sudah lama tidak meraih gelaran sejak 25 tahun lalu. Trofi yang terakhir berada dalam koleksi almari mereka adalah Piala FA 1995.
Add Comment