Bola Sepak Semasa Terkini

Zamsaham beli Kelantan RM6.8juta

DARIPADA sebuah pasukan yang sentiasa sarat dengan pelbagai masalah, Kelantan akhirnya keluar daripada gelaran tersebut selepas melalui proses penswastaan daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kepada pemilik baharu, hari ini.

Skuad The Red Warriors kini sah menjadi milik pakar pelaburan terkenal, Norizam Tukiman yang melabur sebanyak RM6.8 juta untuk menjadi pemilik saham syarikat The Red Warriors (TRW) Sdn Bhd itu.

Norizam atau dikenali Zamsaham berkata, tumpuan beliau sekarang adalah mengembalikan semula keyakinan peminat dan penyokong terhadap pasukan bola sepak Kelantan setelah beberapa tahun kebelakangan ini mengharungi zaman suram.

“Kita bayar RM3juta (dalam bentuk) pembelian saham dan kita dahulukan RM3.8juta kepada KAFA untuk menyelesaikan segala hutang yang ada. Jadi, jumlah keseluruhan adalah RM6.8juta.

“Lebih daripada itu kita tidak akan tanggung, maksudnya hanya tertakluk RM6.8juta sebagai dipersetujui kedua-dua pihak,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Penswastaan Pasukan Bola Sepak TRW Kelantan FC di Hotel Perdana, Kota Bharu, hari ini.

Pada majlis itu, Norizam menerima Perjanjian Pemilikan Penuh Syarikat TRW Sdn Bhd yang turut dihadiri Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Shaari Mat Husain bersama barisan exco mereka.

Jelas Norizam, perkara pertama yang beliau lakukan sejurus mengambil alih Kelantan adalah memberi perhatian terhadap isu perlesenan bagi memastikan kesinambungan pasukan itu boleh beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim akan datang.

“Kita akan pastikan hutang pemain yang lalu diselesaikan termasuk denda FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) dan itu yang kita sedang fokuskan sekarang. Jadi, kita akan berterusan pastikan pemain sedia ada dibayar gaji mengikut masa dan saya akan pastikan masalah gaji ini akan jadi isu lapuk,” katanya.

Ujarnya lagi, beliau tidak berhasrat menukar jenama pasukan bola sepak pantai timur itu sebaliknya ia dikekalkan sehingga saingan Liga Malaysia musim ini berakhir.

“Saya kekalkan semua buat masa ini, saya pun ada pasukan sendiri, mungkin kita akan buat sedikit perubahan dimana kita akan umumkan kemudian tetapi buat sekarang misi kita adalah menanamkan keyakinan pemain kepada pengurusan baru,” tambahnya.

Dalam sidang media sama, pemilik rangkaian hotel berasal dari Johor itu memberitahu, keputusannya membeli pasukan Kelantan adalah tepat berdasarkan kajian dilakukan dan yakin nilai pasukan itu boleh mencecah 500 juta hingga 1billlion dalam tempoh lima tahun lagi.

“Saya adalah full time investor (pelabur sepenuh masa), dah melabur selama 20 tahun, saya melihat keputusan ini daripada segi masa depan, saya tak melihat keuntungan hari ini tapi masa depan.

“Ia bukan satu benda mustahil, dalam dunia saham ini lain ada pengiraan sendiri. Saya beri contoh Uber nilainya RM320billion, setiap tahun rugi 1billion tapi dapat capai RM320billion. Manchester United rugi tapi bernilai berbillion, jadi nilai syarikat bukan hanya semata-mata untung dan rugi,” ujarnya lagi.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: