Bola Sepak Pelbagai Semasa

Adakah Sarawak United B-19 bakal lantik jurulatih muda?

IMG-20200902-WA0066

APABILA kita mengungkap perihal tentang program pembangunan bola sepak, nama jurulatih Mohamad Hakimi Man tidak asing kepada komuniti bola sepak khususnya buat penggemar bola sepak di bumi kenyalang, Sarawak.

Beliau merupakan individu yang begitu arif tentang kualiti dan bakat seorang pemain muda untuk diketengahkan.

Kepakaran dalam mengilap bakat pemain muda cukup terbukti apabila beberapa orang pemain muda yang digilap bakatnya kini mula menghiasi kancah Liga Bola Sepak di Malaysia.

Antara yang kian menyerlah adalah Filimon Anyie Standly yang beraksi di Liga Super bersama PJ City FC dan Gabriel Nistelrooy Anak Tamin yang kini beraksi di Liga Perdana bersama JDT 2.

Mengakui amat seronok dan serasi membimbing bakat muda remaja, Mohamad Hakimi mendedahkan dirinya kini perlu bersedia untuk menggalas cabaran lebih besar bersama pasukan kelab ataupun negeri.

“Mengendalikan pasukan kelab atau negeri merupakan sebagai satu penghormatan buat mana-mana jurulatih. Ianya merupakan satu pengiktirafan hasil kerja keras kita.

“Sudah tentu jika ada tawaran, ianya pasti dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya.

“Ianya masih lagi diperingkat awal dan demi pembangunan sukan bola sepak, saya sentiasa bersedia menghadapi apa jua kemungkinan selepas ini,” ujarnya yang juga merupakan Jurulatih Pembangunan Sarawak.

IMG-20200901-WA0002

Dalam masa terdekat ini, Mohamad Hakimi bersama-sama jurulatih Pengiran Bala dan beberapa jurulatih lain akan mengendalikan pasukan Miri FA bagi perlawanan persahabatan menentang Sukma Sarawak di Miri pada Ahad ini.

“Kita ketepikan dulu sama ada kalah atau menang. Apa yang penting adalah kita mempunyai keberanian untuk mengetengahkan pemain muda dan memastikan pemain muda ini bermain mengikut acuan yang kita terapkan,” katanya kepada Cakap Sukan.

Dalam pada itu, jurulatih yang pernah memimpin Miri FA di saingan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) meminta pemerhati sukan dan peminat tidak menaruh harapan terlalu tinggi untuk melihat kemajuan dalam masa terdekat.

“Kita mesti realistik..tiada kejayaan segera. Saya bukan ada kuasa sakti, tetapi yang saya ada ialah perancangan dan program yang tersusun untuk melahirkan pemain muda yang berkualiti.

“Itu adalah antara kepakaran saya tetapi kita perlu ada kesabaran, kepercayaan dan keberanian untuk berubah,” ujar beliau lagi.

Menyingkap persoalan tentang falsafah permainan, Mohamad Hakimi menyatakan beliau amat menggemari corak permainan yang berkisar kepada kepada corak hantaran bola pendek tetapi ianya perlu lebih dinamik.

“Kita jua perlu bersinergi dalam penguasaan bola.

“Malah, saya perlukan pemain yang bukan hanya pantas bermain tetapi juga perlu pemain yang pantas berfikir,” jelasnya lagi.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: