JODOH antara Ducati dan Andrea Dovizioso berkemungkinan besar tidak berpanjangan.
Ia selepas Pengarah Sukan Ducati, Paolo Ciabatti yang mengakui masih berlangsung rundingan kontrak baru dengan Dovizioso berhubung soal gaji.
Penunggang Itali itu sedang memasuki tahun terakhir kontraknya bersama Ducati.
Sejak 2017, Dovizioso menjadi pencabar serius gelaran juara dunia MotoGP walaupun kerap berpuas hati sebagai naib juara di belakang Marc Marquez.
Atas prestasinya itu, Dovizioso inginkan bayaran lebih untuk kontrak barunya. Namun, Ducati tidak dapat memenuhi tuntutan pelumba asal Forli tersebut kerana dunia sedang menghadapi situasi sukar akibat pandemi virus corona.
“Sayangnya tidak mungkin (naik gaji). Saya fikir kedua-dua belah pihak boleh membuat konsesi dan kompromi.
“Pada akhirnya anda harus mendapatkan kata putus yang boleh diterima. Tujuan kami adalah untuk mencari kesepakatan untuk terus bekerjasama dengan Dovi,” kata Ciabatti kepada Speedweek.
Ducati kini giat mencari seorang lagi pelumba untuk digandingkan bersama Jack Miller di MotoGP 2021.
Khabarnya, pasukan Borgo Panigale itu akan mempromosikan penunggang Pramac Pecco Bagnaia seandainya Dovizioso tidak lagi bersama pasukan
Dovizioso dan Ducati sudah bekerjasama selama lapan tahun dengan pencapaian terbaik muncul naib juara sebanyak tiga kali pada 2017-2019.
Add Comment