Bola Sepak Semasa

Syihan mahu bolot posisi penjaga gol

45EAAAB5-F902-47A0-B64D-945ED0E6D1B4

BENTENG terakhir PJ City FC, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed mahu memastikan status penjaga gol utama kekal menjadi miliknya sebaik sahaja Liga Malaysia 2020 kembali bersambung apabila belum puas melakukan kebangkitan dalam tiga perlawanan pertama awal musim ini selepas hampir dua tahun tidak beraksi susulan kes doping.

Syihan yang sebelum ini berdepan hukuman penggantungan apabila positif doping bermula 6 Oktober dua tahun lalu bersyukur apabila khidmatnya masih ditagih pasukan untuk kembali beraksi pada musim ini.

Kepercayaan yang diletakkan oleh pengendali, K Devan untuknya berada dalam skuad utama pasukan dalam tiga aksi pertama pada awal musim nyata tidak mengecewakan untuknya membantu pasukan apabila PJ City FC setakat ini hanya berdepan satu kekalahan sahaja.

Namun, itu masih belum mencukupi untuk penjaga gol kelahiran Kelantan itu kerana mengakui momentum dan tahap kecergasan sedikit terjejas selepas lama tidak berlatih dan ketika ini
kedudukannya belum selamat apabila peluang masih terbuka untuk penjaga gol lain merampas tempat selaku penjaga gol utama selepas ini.

“Dalam tempoh hampir dua tahun berdepan penggantungan, memang macam-macam dugaan yang saya hadapi dan Alhamdulillah sekarang saya mampu kembali beraksi untuk musim ini.

“Pada awalnya, saya akui memang bukan mudah untuk saya bersaing dengan penjaga gol lain seperti Damien Lim, Kalamullah Al-Hafiz dan Mohd Aqil Abdul Razak, semuanya cukup bagus untuk berada dalam skuad utama.

“Walaupun dah tiga perlawanan saya beraksi, tetapi sekarang keadaan sudah tidak sama lagi kerana kami lama tidak berlatih disebabkan COVID-19, jadi sesiapa sahaja mampu merampas tempat yang saya pegang sebelum ini dan saya memang kena bekerja keras untuk terus kekal selaku penjaga gol utama.

“Apa-apa pun, saya tetap bersemangat untuk meneruskan kembali saingan Liga Malaysia dan dengan segala tunjuk ajar yang diperoleh, saya semakin positif untuk terus berkembang dalam pasukan pada musim ini,” jelasnya.

PJ City akan memulakan aksi lebih awal dalam perlawanan tertunda menentang Terengganu FC pada 22 Ogos depan selain aksi tertunda Liga Premier juga membabitkan pasukan UKM FC dan Kelantan.

Dalam pada itu, penyerang pasukan, Safee Sali mengharapkan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada penyokong-penyokong meskipun mereka tidak dibenarkan hadir menonton perlawanan ke stadium apatah lagi PJ City buat kali pertama akan beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bermula 22 Ogos.

“Saya rasa bukan sahaja peminat bola sepak, tetapi pemain seperti kami juga cukup teruja untuk menanti saingan kembali bermula terutamanya PJ City apabila kami akan beraksi dalam stadium yang sudah dibaik pulih dan mengharapkan stadium MBPJ mampu memberi aura terbaik untuk pasukan.

“Saya harap dengan suasana stadium baru akan menarik minat penyokong walaupun mereka tidak boleh hadir ke stadium, tetapi berilah sokongan berterusan menerusi laman sosial dengan kata-kata semangat kerana ia cukup bermakna buat kami sebagai pemain,” katanya.

Selain perlawanan tertunda, saingan Liga Malaysia 2020 yang sebenar secara rasmi akan kembali berlangsung pada 26 Ogos depan manakala saingan Piala Malaysia akan bermula pada 17-18 Oktober depan.

1 Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: